Ceroboh perairan negara: Mahkamah tetap 4 Februari sebutan semula kes
SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 4 Februari depan sebagai sebutan semula bagi serahan representasi kes lapan nelayan warga Myanmar atas pertuduhan menceroboh perairan negara dan menggunakan peralatan bubu naga untuk menangkap ikan.
Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza membuat ketetapan itu selepas peguam, S Mutakveeran memohon satu tarikh lain untuk meneliti dokumen daripada pihak pendakwaan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Herlina Abd Ghani memaklumkan telah membuat serahan dokumen pada Selasa bagi kes berkenaan.
Pada 28 November lalu, lapan nelayan warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan berkenaan.
Pengakuan itu dibuat oleh tertuduh terdiri daripada empat tekong bot iaitu U Thay, 39, Maung Maung Soe, 37, Maung Myint Than, 34, dan San Win, 32.
Turut mengaku tidak bersalah empat lagi awak-awak iaitu Sin Hla Thein, 41, Zaw Myint Oo, 36, Aung Naing Kyaw, 31, dan Tun Hlaing, 26
Mengikut pertuduhan pertama, semua lelaki tersebut didakwa menggunakan empat vesel penangkapan ikan asing tanpa nombor telah menceroboh perairan negara pada jarak 1.9 batu nautika dari Bagan Sungai Burong, Sungai Besar jam 9.35 pagi, 31 Julai lalu.
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM6 juta bagi setiap tekong atau nakhoda dan RM600,000 bagi setiap kru.
Bagi pertuduhan kedua pula, semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan pada masa, tarikh dan tempat sama dengan menangkap ikan menggunakan bubu naga iaitu suatu cara menangkap ikan yang dilarang Jabatan Perikanan Malaysia.
Mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Jadual 5, Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) (Pindaan 2024) yang diperihalkan di bawah peraturan 2 kepada Jadual Peraturan sama dibaca bersama perenggan 26(1)(a) Akta Perikanan 1985 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM6 juta setiap tekong dan RM600,000 bagi kru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!