13 lelaki simpan 40,000 video, gambar pornografi kanak-kanak diberkas

Keadaan di lokasi serbuan Op Pedo pada Isnin.
Keadaan di lokasi serbuan Op Pedo pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 13 lelaki ditahan secara berasingan kerana disyaki menyimpan video dan gambar pornografi kanak-kanak dan dewasa dalam Op Pedo di enam buah negeri pada Isnin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak 18 premis di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu diperiksa dalam operasi bersepadu dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Hasil pemeriksaan, kita menemukan pelbagai peranti dan peralatan komputer milik kesemua suspek.

“Kira-kira 40,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan pornografi dewasa turut ditemukan dalam komputer terbabit," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Razarudin berkata, operasi itu melibatkan seramai 107 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Bahagian Bantuan Teknik (D6) dan Bahagian Forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta SKMM.

"Polis menahan 13 lelaki berusia antara 20 hingga 74 tahun bagi membantu siasatan," katanya.

Antara peralatan komputer yang dirampas.
Antara peralatan komputer yang dirampas.

Menurutnya, pihak polis turut merampas tujuh komputer, sebuah komputer riba dan 11 telefon bimbit.

Artikel Berkaitan:

“Turut dirampas, tujuh modem dan sembilan router," katanya.

Beliau berkata, objektif operasi bersepadu itu bertujuan menjejaki pesalah seksual terhadap kanak-kanak melibatkan aktiviti dalam talian khususnya di platform media sosial.

"Ia juga bagi memberi kesedaran kepada ibu bapa, masyarakat serta penyedia platform tentang tanggungjawab melindungi dan menjaga keselamatan kanak-kanak," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan direman antara satu dan empat hari bermula Selasa.

“Sebanyak 13 kertas siasatan dibuka atas kesalahan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan kesalahan memiliki bahan lucah Seksyen 292 Kanun Keseksaan,” katanya.

Razarudin berkata, orang ramai terutamanya golongan remaja dan kanak-kanak dinasihatkan agar meningkatkan kawalan kendiri, menjaga batas moral dan adab bersosial di dalam talian.

"Ia bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah serta melaporkan sebarang penyalahgunaan rangkaian kepada pihak berkuasa.

"Kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang melakukan serta melibatkan diri dalam aktiviti jenayah," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!