Andalusia sedia empat pakej haji, tawaran serendah RM43,990

Md Daud (kiri) merasmikan Majlis Pelancaran Pakej Haji 1446H di Auditorium Wisma Ibu Pejabat Andalusia pada Isnin.
Md Daud (kiri) merasmikan Majlis Pelancaran Pakej Haji 1446H di Auditorium Wisma Ibu Pejabat Andalusia pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat pengendali pakej haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) menyediakan empat pakej haji kepada jemaah dengan tawaran harga serendah RM43,990 sempena musim 1446H/2025M.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, tawaran untuk penginapan selama 40 hingga 45 hari itu merangkumi pakej baharu iaitu Marsa dan diikuti Malak, Olayan serta Safwah.

Md Daud ketika Majlis Pelancaran Pakej Haji 1446H di Auditorium Wisma Ibu Pejabat Andalusia pada Isnin.
Md Daud ketika Majlis Pelancaran Pakej Haji 1446H di Auditorium Wisma Ibu Pejabat Andalusia pada Isnin.

Menurut beliau, harga pakej yang ditawarkan oleh syarikat itu pada tahun ini juga lebih rendah berbanding tahun lepas dengan perbezaan lima peratus.

“Kadar terendah kita pada tahun lepas adalah RM44,900, sekarang ini jadi RM43,990.

“Sedangkan kalau ikut kebanyakan agensi pelancongan, mereka memohon kepada pihak berkuasa untuk meletakkan pada harga RM55,000 kerana semua barang naik harga.

“Namun, Andalusia masih lagi berpegang kepada harga yang kita mampu tawarkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pakej Haji 1446H/2025M di Auditorium Wisma Ibu Pejabat Andalusia, Kampung Pandan, pada Isnin.

Orang ramai yang hadir bagi mendengar pakej haji yang ditawarkan oleh Andalusia pada Isnin.
Orang ramai yang hadir bagi mendengar pakej haji yang ditawarkan oleh Andalusia pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin dan Ketua Pegawai Perniagaan Andalusia, Izzati Ibrahim.

Pakej Marsa bermula dari harga RM43,990, RM46,990 dan RM53,990 berdasarkan jenis bilik, manakala pakej Malak meliputi kadar harga RM46,990, RM53,990 serta RM59,990.

Pakej Olayan melibatkan empat kadar harga iaitu RM56,990, RM60,990, RM64,990 dan RM72,990.

No Image Caption

Pakej Safwah pula merangkumi harga RM77,990, RM81,990, RM89,990 dan RM102,990.

Jelas Md Daud, pakej yang ditawarkan tersebut sudah boleh ditempah oleh orang ramai bermula Isnin hingga akhir bulan Ramadan tahun hadapan.

Beliau memberitahu, bakal jemaah haji yang mendaftar awal turut berpeluang menikmati diskaun pakej berkenaan daripada RM1,500 hingga RM3,000.

“Promosi itu bergantung pada pakej yang diambil. Mereka yang mendaftar awal bagi pakej Marsa dan Malak akan mendapat diskaun RM1,500 seorang, Olayan RM2,000 dan Safwah RM3,000,” ujarnya.

Tambah beliau, penawaran harga bagi setiap pakej berkenaan bergantung kepada jenis bilik dan jarak hotel penginapan ke Masjidil Haram.

“Sebanyak tiga jenis bilik disediakan untuk pakej Marsa dengan jarak 310 meter (m) ke Masjidil Haram, manakala Malak pula menawarkan tiga jenis bilik dengan jarak 470m ke masjid sama.

“Pakej Olayan melibatkan jarak 220m manakala Safwah pula 50m ke Masjidil Haram. Masing-masing mempunyai empat jenis bilik,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai jumlah bakal jemaah haji yang bakal dibawa kali ini, Md Daud berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan butiran berkenaan berikutan ia tertakluk kepada pemakluman daripada Tabung Haji (TH).

“Pada tahun lepas, kita ada seramai 701 jemaah haji sedangkan jumlah kita mohon adalah 1,000 orang tetapi setakat itu sahaja yang dapat TH berikan dan kita terima.

“Sebab itu, saya tidak berani letakkan kadar jumlah sebenar kerana ia mempunyai perubahan. Kita menyediakan sahaja (bilik dan prasarana) tetapi tidak meletakkan angka.

“Jadi jumlah sebenar jemaah haji kita hanya boleh tahu pada waktu-waktu akhir,” katanya.

Md Daud menjelaskan, keempat-empat pakej tersebut memberikan perkhidmatan lengkap kepada jemaah haji termasuk hidangan makanan, ziarah, pembimbing bertauliah, perlindungan takaful dan bantuan petugas berpengalaman.

“Selain dari jarak hotel yang dekat dengan Masjidil Haram, kita turut menyediakan perkhidmatan sewaktu di Arafah dan Mina seperti pengangkutan, khemah dan makanan.

“Kita juga menyediakan barangan cenderahati seperti beg bagasi besar, beg galas troli, sejadah lipat, payung, botol wuduk, tasbih dan botol air,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!