'Insya-ALLAH saya akan galas tanggungjawab jaga cucu' - Bapa mangsa
BANGI - Bapa kepada pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV), Khairul Ikhwan Mazupi, 32, yang terlibat dalam nahas di Melaka bersedia menggalas tanggungjawab menjaga cucunya yang terselamat dalam kemalangan itu.
Pesara Polis DiRaja Malaysia, Datuk Mazupi Abdul Rahman berkata, ini kerana besannya juga turut terbabit dalam kejadian tersebut.
"Arwah masih meninggalkan dua orang anak berumur 4 dan 7 tahun yang kini menerima rawatan di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Melaka. Insya-ALLAH saya perlu ambil tanggungjawab sebab mereka cucu saya, besan pun meninggal juga," ujarnya
Beliau memberitahu, arwah seorang anak yang taat dan tinggi budi pekerti selain suka membantu orang lain.
Jelasnya, kehilangan anak, menantu dan cucu sangat dirasai memandangkan mereka tidak sempat bersua muka sebelum arwah pergi ke Melaka.
"Arwah ada datang ke rumah saya untuk pinjam kenderaan pelbagai guna (MPV), namun tidak sempat berjumpa kerana ketika itu saya berada di surau. Dia hanya hantar mesej sahaja mungkin dia tidak mahu menganggu.
"Sepatutnya malam tadi dia balik, kejadian ini sangat mengejut buat kami sekeluarga. Arwah juga tidak menunjukkan sebarang petanda, ya lah mereka ke Melaka untuk bercuti.
"Saya paling rapat dengan anak arwah yang paling bongsu, setiap hari saya akan hantar dia ke tadika,"katanya.
Sebelum ini, nahas membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selaran (PLUS) arah utara di Melaka itu turut mengorbankan bapa mertua mangsa, Ramli Ab Wahab, 66, dan anak bongsunya, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2.
Sementara itu, dua anaknya, Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, dan Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, 4, dirawat di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Melaka.
Difahamkan jenazah Khairul Ikhwan, Fadzlenna serta Muhammad Umar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Tangkas, Bangi.
"Saya nak kata begini, jika mereka ada hutang boleh tuntut dengan saya.
"Kalau ada juga kesilapan yang dilakukan, saya mewakili keluarga memohon maaf bagi pihak arwah," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!