15 minit tahan sakit kaki tersangkut dalam lubang tandas
MELAKA - Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menanggung kesakitan hampir 15 minit selepas kaki kanannya tersangkut di dalam lubang tandas di rumahnya di Taman Tanjung Minyak Perdana, di sini, pada Selasa.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Tangga Batu, Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Roshdi Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu lebih kurang jam 10.57 pagi.
Menurutnya, seramai tujuh anggota bersama-sama sebuah jentera dari BBP Tangga Batu bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, setiba di lokasi, pihaknya mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun tersangkut kaki di dalam lubang tandas.
"Anggota bomba terpaksa memecahkan mangkuk tandas bagi mengeluarkan kaki mangsa.
"Kerja-kerja mengeluarkan kaki mangsa tamat pada jam 12.30 tengah hari dan mangsa mengalami kecederaan ringan pada kaki," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!