14 pemilik rumah teres terima pampasan RM6 juta
KUALA LUMPUR - Seramai 14 pemilik rumah teres yang terjejas akibat isu pertikaian tanah sejak sekian lama di Jalan Bukit Desa di Taman Desa, di sini menerima pampasan berjumlah kira-kira RM6 juta.
Menurut laporan The Star, salah seorang pemilik, Datuk Edmund Lim menerima bayaran tertinggi, hampir satu juta pada November.
Beliau dipetik sebagai berkata, pampasan yang diterima oleh pemilik rumah terbabit, yang tanahnya digunakan untuk membina jalan raya kegunaan awam, adalah antara RM350,000 hingga RM950,000 setiap satu.
Seperti dilaporkan portal akhbar itu, pampasan terbabit dikira berdasarkan persegi tanah, nilai pasaran semasa dan kos tambahan yang ditanggung oleh mereka akibat kehilangan tanah.
Pembayaran oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah kemuncak pertikaian berlarutan yang menarik perhatian umum selepas Lim menyekat sebahagian jalan di hadapan rumahnya sebagai protes.
Kes membabitkan 21 lot di Jalan Bukit Desa termasuk 14 rumah teres.
“Saya lega perkara ini akhirnya dapat tamat. Walaupun saya lebih suka mendapatkan semula tanah saya, pampasan ini adalah satu-satunya penyelesaian yang terbaik.
“Saya harap ini menjadi peringatan kepada pihak berkuasa tempatan, pemaju dan pemilik tanah untuk mengamalkan usaha wajar dalam hal penggunaan tanah dan sempadan harta tanah,” kata Lim.
Portal berita itu mula mengetengahkan isu tersebut pada 2022, selepas Lim meletakkan bekas keluli 3.04m x 6.09m di atas jalan selama dua minggu dan mengepung tapak itu dengan kon lalu lintas.
Pada masa itu, pegawai DBKL meminta Lim untuk menghapuskan halangan itu.
Berikutan itu, pada Oktober tahun lalu, Lim sekali lagi menyekat jalan raya, memetik kegagalan DBKL menangani perkara itu.
Ketika itu beliau menggunakan penghadang dan tanda pembinaan untuk menunjukkan berapa banyak tanahnya telah diceroboh.
Beliau juga menghubungi juru ukur tanah yang mengesahkan bahawa tanahnya adalah 1,009 kaki persegi lebih kecil daripada yang sepatutnya, kerana kesilapan pengiraan oleh pemaju perumahan.
Selepas penduduk terjejas bertemu dengan DBKL Januari awal tahun ini, pihak berkuasa tempatan memulakan prosiding undang-undang pada Jun untuk mengambil alih bahagian tanah persendirian di Jalan Bukit Desa, lokasi jalan itu telah dibina.
Pada Oktober, penduduk menerima notis anugerah pampasan daripada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) dan mula menerima pampasan lewat bulan lalu.
Dalam satu kenyataan, DBKL berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan pengambilan tanah melalui PTGWP, Jabatan Wilayah Persekutuan dan ketua pengarah Jabatan Tanah dan Galian untuk kelulusan memulakan proses itu.
DBKL seperti mana dilaporkan The Star turut mengesahkan bahawa lot 43137-43151, 43152, 1566, 1567, dan 43154-43156 terlibat dalam pengambilan dan pewartaan mengikut Seksyen 4 dan 8 Akta Pengambilan Tanah 1960.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!