Jawapan balas saman pemula Bersatu sedang disiapkan – Johari

Johari Abdul
Johari Abdul
A
A
A

SUNGAI PETANI - Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan sedang menyediakan jawapan balas kepada Peguam Negara berhubung saman pemula difailkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas pengisytiharan untuk tidak mengosongkan kerusi lima ahli Parlimen yang dipecat parti itu.

Menurut Johari, perkara itu diuruskan oleh pasukan penasihatnya.

"Kita (menerusi) penasihat-penasihat saya sedang uruskan jawapan atau respon kepada apa kita perlu buat. Kita tunggu dan lihat mungkin mahkamah akan teruskan atau pun memanggil untuk pengurusan kes dan sebagainya,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Jeniang pada Selasa.

Johari sebelum ini mengesahkan telah menerima saman pemula difailkan Bersatu susulan pengisytiharan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi tidak mengosongkan kerusi lima ahli Parlimen yang dipecat parti tersebut.

Johari menyantuni kanak-kanak Tabika Kemas di Masjid Safuan Pekan Jeniang pada Selasa.
Johari menyantuni kanak-kanak Tabika Kemas di Masjid Safuan Pekan Jeniang pada Selasa.

Terdahulu, Bersatu dilapor mengemukakan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut perisytiharan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak mengosongkan kerusi lima ahli Parlimen yang dipecat parti itu sebagai tidak berperlembagaan.

Saman pemula itu difailkan Setiausaha Kerja Bersatu, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Whip parti, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selaku plaintif pada 15 November lalu melalui firma guaman, Tetuan Chetan Jethwani & Company.

Artikel Berkaitan:

Selain Johari, Bersatu turut menamakan lima Ahli Parlimen, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) sebagai defendan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!