Nahas 5 kenderaan: Dr Dzulkefly ucap takziah pemergian petugas KKM, suami
SHAH ALAM - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad merakamkan ucapan takziah buat keluarga petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Fadzlenna Ramli yang juga antara mangsa nahas lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selaran (PLUS) arah utara di Melaka pada Isnin.
Menerusi hantaran dimuat naik di Facebook, beliau turut mendoakan agar keluarga Allahyarham Fadzlenna dipermudahkan segala urusan.
“Salam takziah buat keluarga arwah dan doa buat seorang lagi petugas KKM yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga ALLAH SWT permudahkan segala urusan,“ katanya ringkas pada Selasa.
Allahyarham Fadzlenna, 32, yang berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Sultan Idris Shah Serdang dilaporkan terkorban bersama suaminya, Khairul Ikhwan Mazupi, 32.
Menerusi hantaran berbeza dimuat naik Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pihaknya turut mengucapkan takziah buat Khairul Ikhwan yang selama ini berkhidmat sebagai Penolong Jurutera.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.
“Salam takziah daripada Fakulti Pergigian UKM,“ ujarnya di platform sama.
Nahas berkenaan turut mengorbankan bapa mentuanya, Ramli Ab Wahab, 66, bersama isteri, Fauziah Jaafar, 69, dan anak bongsu mereka, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2.
Sementara itu, dua anaknya, Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, dan Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, 4, dirawat di Zon Merah serta Zon Kuning Hospital Melaka.
Jenazah lima sekeluarga itu akan dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Sungai Tangkas, Bangi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!