Pekerja stor mengaku salah rakam video rakan sekerja wanita 'lepas hajat'
KUALA LUMPUR - Seorang pekerja stor sebuah kedai serbaneka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini pada Selasa, kerana mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan merakam video rakan sekerjanya itu yang sedang ‘melepas hajat’, empat hari lepas.
Lelaki berusia 19 tahun itu didakwa merakam video rakan sekerjanya yang juga merupakan seorang juruwang, di dalam tandas di premis itu di Jalan Ampang Hilir, Hulu Langat di sini pada 8.23 malam, 20 Disember.
Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan menanggung keluarga.
Majistret Amalina Basirah Md Top membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah juga menetapkan 5 Februari 2025 untuk sebutan bagi mendapatkan laporan sosial tertuduh yang merupakan pesalah muda sebelum menjatuhkan hukuman. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!