Dua lelaki diberkas insiden pergaduhan penyokong bola sepak

Tangkap layar menunjukkan kumpulan penyokong bola sepak bergaduh di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan. Foto Media sosial (Gambar kecil: Rusdi)
Tangkap layar menunjukkan kumpulan penyokong bola sepak bergaduh di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan. Foto Media sosial (Gambar kecil: Rusdi)
A
A
A

KUALA LUMPUR – Dua lelaki diberkas susulan insiden pergaduhan melibatkan kumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan lanjut yang dijalankan membawa kepada tangkapan dua suspek dalam serbuan di sekitar ibu negara dan Ampang, Selangor pada Selasa.

"Kedua-dua suspek yang ditahan merupakan warga tempatan berumur 22 dan 24 tahun.

"Kedua-dua suspek direman dua hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Tegas Rusdi, orang ramai diingatkan agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan suasana di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan digemparkan dengan insiden pergaduhan melibatkan dua kumpulan penyokong bola sepak, Jumaat lalu.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu bagaimanapun dileraikan anggota polis bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang bertugas.

Insiden itu mengakibatkan kerosakan pada kemudahan di stesen serta bahagian pintu dan cermin tingkap tren yang berada di platform.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!