Kematian kucing di UM: Polis buka kertas siasatan, rakam keterangan aktivis haiwan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan merakam keterangan aktivis haiwan berkenaan kenyataan yang dikeluarkan berhubung kematian kucing di Universiti Malaya (UM) di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian serta kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang aktivis haiwan.

"Susulan itu, rakaman percakapan pihak berkenaan akan diambil pada hari Khamis," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan siasatan polis mendapati kematian kucing di Universiti Malaya baru-baru ini dipercayai akibat serangan anjing liar.

Rusdi berkata, pihaknya telah menerima tiga laporan polis berhubung kejadian kematian kucing itu pada Isnin, Jumaat dan Sabtu.

Jelas beliau, tiada saksi yang melihat kejadian itu, namun melalui hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan tersebut mendapati terdapat sekumpulan anjing liar bertindak menyerang kucing-kucing berkenaan.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai seekor lagi kucing ditemui mati dengan keempat-empat kaki hilang di UM.

Rabu lalu, media melaporkan dua ekor kucing yang ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM bukan akibat perbuatan kejam manusia, sebaliknya diserang anjing liar.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!