Air Selangor kongsi keceriaan bersama kanak-kanak, warga emas sempena Krismas

Air Selangor menyalurkan sumbangan kepada dua rumah kebajikan sempena sambutan hari Krismas ini. - Gambar hiasan
Air Selangor menyalurkan sumbangan kepada dua rumah kebajikan sempena sambutan hari Krismas ini. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melalui inisiatif Community Investment (CI) Sesama Mara menyalurkan sumbangan kepada dua rumah kebajikan sempena sambutan hari Krismas bagi berkongsi keceriaan bersama anak-anak kurang bernasib baik dan warga emas.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Elina Baseri berkata, dengan membawa keceriaan dan keselesaan kepada penghuni rumah kebajikan tersebut, ia mampu memberi inspirasi selain memupuk semangat kebersamaan serta ihsan dalam kalangan semua pihak.

Menurutnya, menerusi inisiatif itu, Air Selangor telah menyumbangkan keperluan asas seperti barangan dapur, makanan, perabot asas, selain barangan keperluan rumah di Home of Peace Kuala Lumpur dan Grace Home Klang, Selangor.

“Program keceriaan sambutan perayaan di bawah inisiatif Sesama Mara ini mencerminkan usaha Air Selangor dalam menyokong golongan yang kurang bernasib baik.

“Selain memberi bantuan dan mengunjungi rumah kebajikan yang terlibat, sukarelawan Hydro Heroes yang terdiri daripada 11 warga kerja Air Selangor turut mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan rumah kebajikan Home of Peace Kuala Lumpur, menjalankan aktiviti bercucuk tanam serta menghias rumah kebajikan ini dengan hiasan Krismas.

“Sukarelawan juga meluangkan masa menyambut hari lahir anak-anak dan menyanyikan lagu Krismas untuk memeriahkan lagi sambutan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Elina berkata, di bawah payung Sesama Mara juga, mereka turut mengagihkan bantuan barangan makanan asas Box of Hope sebanyak 6,775 kotak kepada keluarga B40 di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak inisiatif berkenaan diperkenalkan pada 30 Jun 2020.

Tambah beliau, kaedah sumbangan dalam bentuk pembelian fizikal boleh dilakukan di lima lokasi Box of Hope Village Grocer iaitu Tamarind Square Cyberjaya, MyTOWN Shopping Centre Cheras, 1 Mont Kiara, Central i-City Shah Alam dan Melawati Mall Ampang.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Air Selangor juga telah melancarkan inisiatif Box of Hope versi digital yang membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan secara digital melalui laman sesawang www.airselangor.com/boxofhope/.

“Air Selangor berharap bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat membawa kegembiraan di samping memperkukuhkan hubungan antara komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!