Harga minyak naik didorong data pertumbuhan ekonomi AS

Penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent naik 1.5 peratus kepada AS2.84 setong. Foto hiasan
Penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent naik 1.5 peratus kepada AS2.84 setong. Foto hiasan
A
A
A

HARGA minyak meningkat pada Selasa, disokong oleh data pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kukuh serta jangkaan bahawa aktiviti ekonomi global akan meningkatkan permintaan minyak, meskipun jumlah dagangan kekal rendah menjelang cuti Krismas.

Agensi Anadolu (AA) dalam laporannya menyebut penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent naik 1.5 peratus kepada AS$72.84 setong pada 11:18 pagi waktu tempatan (0818 GMT), berbanding AS$71.74 pada penutupan sesi sebelumnya.

Penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI), turut meningkat 0.8 peratus kepada AS$69.63 setong, berbanding penutupan sebelumnya pada AS$69.08.

Minggu lalu, data daripada AS, selaku pengguna minyak terbesar dunia, menimbulkan kebimbangan terhadap inflasi dan risiko kemelesetan ekonomi. Ketidakpastian mengenai dasar kadar faedah Rizab Persekutuan AS untuk 2025 juga mempengaruhi trend harga minyak.

Namun, data terkini AS mengenai perbelanjaan penggunaan peribadi dan pertumbuhan ekonomi meredakan kebimbangan inflasi, memberikan pandangan yang lebih optimistik terhadap kestabilan ekonomi.

Di China, Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan, badan legislatif negara pengimport minyak terbesar dunia, mengumumkan perbincangan mengenai draf undang-undang yang bertujuan mengukuhkan sektor swasta.

Penganalisis berkata permintaan domestik yang lemah dan isu hartanah kekal sebagai cabaran utama ekonomi China, dengan kerajaan memfokuskan langkah untuk menangani masalah ini di tengah-tengah potensi konflik perdagangan.

Pasaran minyak menyaksikan aktiviti dagangan yang berkurangan menjelang cuti Krismas.

Artikel Berkaitan:

Pasaran saham AS dijangka ditutup awal pada Selasa dan kekal ditutup pada Rabu, menyebabkan jangkaan jumlah dagangan yang terhad sepanjang minggu.

Begitu juga, pasaran saham Eropah akan beroperasi separuh hari pada Selasa tanpa dagangan dijadualkan pada Rabu.

Di Asia, pasaran Hong Kong ditutup awal pada Selasa dan akan kekal tutup pada Rabu dan Khamis, manakala pasaran Korea Selatan akan ditutup pada Rabu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!