Bangladesh mohon ekstradisi Sheikh Hasina
DHAKA - Bangladesh pada Isnin memohon India menghantar pulang bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina untuk dibicarakan selepas beliau berlindung di negara itu setelah disingkirkan oleh gerakan protes pada Ogos lalu.
“Kami sudah maklumkan kepada New Delhi melalui Note Verbale (nota diplomatik) tentang permohonan ekstradisi Hasina bagi menjalani proses kehakiman,” kata Touhid Hossain yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal luar di bawah kerajaan interim.
Sebagai respons, jurucakap Kementerian Luar India mengesahkan sudah menerima permohonan tersebut dan enggan mengulas lanjut.
Dhaka sudah mengeluarkan waran tangkap ke atas Hasina selepas pemimpin berusia 77 tahun kali terakhir dilihat tiba di India dengan menaiki helikopter.
Hasina sepatutnya tampil di mahkamah di Dhaka pada bulan lalu untuk berdepan tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan melakukan jenayah kemanusiaan.
Sepanjang tempoh 15 tahun kepimpinan beliau, pemimpin tersebut didakwa melakukan pelanggaran hak asasi manusia secara meluas termasuk pembunuhan di luar undang-undang terhadap puak penentangnya.
Difahamkan Bangladesh turut memohon notis merah Interpol untuk sekutu rejim Hasina. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!