Pembangkang Korea Selatan mahu pecat pemangku Presiden pula
SEOUL - Parti pembangkang utama Korea Selatan mahu mengemukakan rang undang-undang (RUU) untuk memecat pemangku Presiden, Han Duck-soo.
Jurucakap Parti Demokratik (DP), Yoon Jong-kun berkata, ia kemudiannya akan diperkenalkan ketika sidang pleno pada Khamis ini.
Difahamkan, proses pengundian RUU pemecatan itu perlu dilakukan dalam tempoh 24 hingga 72 jam.
Jika Duck-soo dipecat, Menteri Kewangan, Choi Sang-mok berada di barisan seterusnya untuk menggantikan beliau seperti ditetapkan undang-undang negara itu.
Difahamkan, DP yang memegang majoriti di Parlimen bertindak sedemikian selepas Duck-soo menangguhkan kelulusan undang-undang untuk melancarkan siasatan peguam khas ke atas Presiden digantung tugas, Yoon Suk Yeol kerana mengisytiharkan undang-undang tentera singkat pada awal bulan lalu.
Baru-baru ini, DP meluluskan RUU bagi meneruskan siasatan ke atas Suk Yeol dan skandal beg mewah melibatkan isterinya, Kim Keon-hee.
Ketika ini Suk Yeol sedang disiasat pasukan bersama terdiri daripada polis dan penyiasat antirasuah. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!