Nahas 5 kenderaan: JPJ laksana tindakan JISA terhadap syarikat kenderaan terlibat

Laporan Sinar Harian berhubung nahas membabitkan 5 kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selaran (PLUS) arah utara di Melaka. (Gambar kecil: Aedy Fadly)
Laporan Sinar Harian berhubung nahas membabitkan 5 kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selaran (PLUS) arah utara di Melaka. (Gambar kecil: Aedy Fadly)
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan tindakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap syarikat kenderaan terlibat yang mengorbankan tujuh nyawa dalam insiden di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selaran (PLUS) arah utara di Melaka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya menzahirkan kekesalan susulan beberapa kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan, terutama kes terbabit.

"Susulan daripada kes kemalangan tersebut pihak JPJ sedang melakukan siasatan secara terperinci," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dilaporkan berkata JPJ menerusi Bahagian Penguatkuasaan diarah mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat lori serta bas yang terbabit dalam kemalangan itu.

Siasatan awal pihak berkuasa mendapati, kemalangan yang mengakibatkan kehilangan tujuh nyawa itu berpunca daripada tayar sebuah lori yang tercabut, menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak lalu terbabas dan merempuh tiga kenderaan dari arah bertentangan.

Nahas di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, tidak jauh dari susur keluar Plaza Tol Simpang Ampat di Alor Gajah, kira-kira jam 8.40 malam Isnin mengorbankan tujuh nyawa.

Nahas itu membabitkan sebuah bas ekspres, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!