Kemalangan kenderaan perdagangan: JPJ lipat ganda penguatkuasaan
PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan tindakan baharu dan melipatgandakan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan khususnya melibatkan kesalahan teknikal.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya memandang serius terhadap trend kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya yang lain.
"Kita akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Aedy Fadly berkata, pihaknya akan menyemak dan memeriksa prosedur pemeriksaan berkala kenderaan perdagangan yang dilakukan oleh PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) atau pusat pemeriksaan kenderaan yang dilantik.
"JPJ akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Ia adalah untuk memeriksa dan memantau bengkel yang berdaftar serta bengkel haram yang disyaki menyediakan perkhidmatan menyewa peralatan bagi tujuan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan," katanya.
Menurutnya, JPJ turut bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berkaitan pemeriksaan penyalahgunaan dadah oleh pemandu.
"JPJ akan menilai semula dan menambah baik latihan serta kursus kepada pemandu kenderaan perdagangan.
"Selain itu, kita akan menambah elemen pematuhan dan pengetahuan teknikal kepada pemandu sebelum sijil dikeluarkan," katanya.
Beliau berkata, tahun hadapan akan dijadikan tahun penguatkuasaan dengan JPJ tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mempunyai cubaan dalam langkah bersubahat melakukan kesalahan teknikal terutamanya berkaitan kenderaan perdagangan.
"Semua pemandu kenderaan perdagangan supaya sentiasa bertanggungjawab dalam mematuhi peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa," katanya.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dilaksanakan terhadap pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan.
"Tindakan akan dilaksanakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
"Orang ramai boleh melaporkan aduan berkaitan kesalahan yang melibatkan kenderaan perdagangan secara terus atau real time menggunakan Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel aduantrafik@jpj.gov.my beserta dengan butiran lengkap aduan," ujarnya.
Terdahulu laporan khas yang disiarkan Sinar Harian pada Isnin berhubung kemalangan maut membabitkan kenderaan berat.
Sebanyak 825 kemalangan maut melibatkan lori direkodkan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini dengan purata nahas 3 lori dalam sehari seperti yang didedahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam laporan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!