Malaysia, Kyrgyz sedia teroka peluang kerjasama dalam bidang pertanian

Mohamad Sabu. Foto fail Bernama
Mohamad Sabu. Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan Republik Kyrgyz bersetuju untuk meneroka peluang kerjasama serta bertukar maklumat mengenai perkembangan terbaharu dalam sektor pertanian di kedua-dua negara.

Perkara itu disepakati dalam pertemuan sulung antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Duta Besar Republik Kyrgyz ke Malaysia Anvar Anarbaev, di sini semalam.

Menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada Selasa, dalam pertemuan itu, Mohamad turut membincangkan usaha sama dalam pertanian dan keterjaminan makanan serta potensi meningkatkan akses pasaran produk Malaysia ke Republik Kyrgyz bagi produk seperti produk nilai tambah haiwan, makanan haiwan, ‘liquid egg’ dan vaksin haiwan.

Selain itu, Malaysia berhasrat meneroka kerjasama dalam penternakan lebah madu serta pengeluaran madu lebah menerusi pembangunan kapasiti serta program perkongsian pengetahuan untuk sektor akuakultur terutamanya penternakan udang putih dan ikan tilapia.

"Menteri telah mengambil kesempatan semasa sesi ini untuk menerangkan bahawa Malaysia mempunyai pelbagai jenis buah-buahan tropika seperti durian, nangka dan nanas dan mempelawa pihak Republik Kyrgyz untuk mempertimbangkan kemasukan buah-buahan tropika yang berkualiti tinggi ini ke negara mereka," menurut kenyataan itu.

KPKM berkata Mohamad dalam pada itu turut mengalu-alukan cadangan kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan institusi penyelidikan di Kyrgyz. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!