Gantung seumur hidup lesen pemilik, pemandu
SHAH ALAM - Tindakan paling tegas termasuk menggantung seumur hidup lesen perlu dikenakan ke atas pemilik dan pemandu syarikat pengangkutan perdagangan yang mengabaikan aspek keselamatan hingga menyebabkan kemalangan maut.
Pakar automotif, Datuk Mohamad Dalib berkata, hukuman lebih berat itu penting bagi memberi pengajaran kepada pihak terlibat agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan ciri-ciri keselamatan dipenuhi sebelum bergerak di atas jalan raya.
Menurutnya, membawa muatan lebih, tiada bunga tayar, lampu isyarat dan brek tidak berfungsi antara kesalahan yang sering dipandang ringan hingga mengabaikan keselamatan pengguna lain.
“Kebanyakan kes kemalangan berpunca daripada manusia sebab bukan jentera yang kawal manusia tetapi manusia yang kawal jentera. Sebelum ini saya pernah memberi pandangan supaya penalti lebih berat dan tiada maaf diberikan kepada pihak yang membunuh manusia lain kerana akibat perbuatan seseorang, orang lain yang merana. Jadi, dalam isu kemalangan maut ini jangan ada kompromi.
“Hukuman berat sebegini antara syor yang terbaik untuk memberi pengajaran kepada pihak lain. Kalau kita lihat undang-undang di luar negara sebagai contoh di United Kingdom (UK) pemandu yang menyebabkan kemalangan maut dikenakan hukuman sangat berat termasuk membatalkan lesen seumur hidup, denda dan penjara bergantung kepada keputusan mahkamah.
“Apa yang saya dapat lihat juga kebanyakan pengusaha kenderaan berat di Malaysia ini memandang mudah dalam memilih pemandu.
"Mereka tidak tengok latar belakang mereka sedangkan pemandu jentera atau kenderaan berat ini seharusnya mereka yang mempunyai kemahiran dalam pemanduan bagi sektor ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Mohamad yang juga bekas Pengarah Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kadar kesedaran pemilik syarikat untuk beri pendedahan dan tingkatkan kemahiran dalam kalangan pemandu juga rendah.
“Pengusaha atau pemilik syarikat tidak memikirkan, memberi atau didik pemandu mereka mengenai pemanduan kenderaan berat yang betul kerana beranggapan memiliki lesen sudah memadai.
“Sedangkan, bagi seseorang pemandu kenderaan berat ini mereka bukan sahaja perlu memiliki lesen tetapi apa yang lebih penting ialah tahu teknik pemanduan yang betul, keadaan jalan, keadaan kenderaan dan sebagainya.
“Pemandu-pemandu ini perlu sentiasa diingatkan bahawa jalan raya, kenderaan bukan pembunuh tetapi yang membunuh ialah kekurangan kemahiran dan pengetahuan dalam mengendalikan kenderaan di atas jalan raya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!