Derita berganda penduduk Gaza
KHAN YUNIS - Musim sejuk kini melanda Genting Gaza dengan hampir dua juta penduduk Palestin hilang tempat tinggal akibat perang genosid berlarutan selama 14 bulan.
Sebahagian besar penduduk Gaza kini bergelut dengan cuaca sejuk melampau dan hujan berterusan, sekali gus memburukkan lagi penderitaan mereka yang berdepan malapetaka kemanusiaan.
Selain mengalami kekurangan bekalan makanan, mereka juga tiada selimut dan pakaian tebal serta kayu api untuk bertahan di bawah khemah sementara sepanjang musim sejuk.
Shadia Aiyada yang berlindung di 'bandar khemah' ciptaan Israel di al-Mawasi hanya mempunyai sehelai selimut dan sebotol air panas untuk melindungi lapan anaknya daripada kesejukan.
“Kami sentiasa berasa takut apabila mendengar ramalan cuaca yang menyebut tentang hujan berterusan. Kami juga bimbang jika khemah ini diterbangkan angin kencang,” katanya.
Suhu pada waktu malam boleh menjunam di bawah 20 darjah Celsius dikhuatiri akan menyebabkan kelapan-lapan anaknya jatuh sakit kerana tidak mengenakan pakaian tebal.
“Kami hanya bawa pakaian ketika musim panas ketika berpindah ke sini dan terpaksa meminjam baju dari saudara yang senasib kami,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran tentang komuniti di 'bandar khemah' mungkin tidak dapat bertahan pada musim sejuk kali ini.
Kira-kira 945,000 penduduk Palestin memerlukan bekalan menghadapi musim sejuk yang dijual pada harga terlalu tinggi.
Laporan kemas kini pada minggu lalu juga menyuarakan kebimbangan terhadap penularan penyakit berjangkit yang pernah berlaku ketika musim sejuk pada tahun lalu berikutan krisis malnutrisi yang semakin meruncing.
Bekalan terkandas
Agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) telah membuat pelan awal untuk ketibaan musim sejuk di Gaza, namun penghantaran bantuan telah disekat ke wilayah tersebut.
Jurucakapnya, Louise Wateridge berkata, UNRWA telah mengagihkan kira-kira 6,000 khemah di utara enklaf berkenaan sejak lebih empat minggu lalu, tetapi bantuan sama tidak dapat tiba di bahagian lain termasuk di zon tempur.
Kira-kira 22,000 khemah juga terkandas di Jordan selain 60,000 selimut dan 33 trak membawa tilam juga tersadai di Mesir sejak musim panas lalu kerana agensi berkenaan gagal mendapat akses daripada Israel untuk penghantaran bantuan tersebut.
Hal ini kerana, rejim Tel Aviv memberi alasan ia perlu memberi keutamaan kepada penghantaran makanan, tetapi masih ramai penduduk Palestin yang tidak mendapat bekalan tersebut akibat sekatan Zionis.
“Banyak tilam dan selimut juga menjadi sasaran rompakan atau musnah akibat haiwan perosak dan cuaca,” jelas Wateridge.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Program Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa untuk wilayah Palestin, Dionne Wong berkata, kerenah birokrasi menyukarkan penghantaran bantuan buat penduduk Gaza.
“Keupayaan mereka untuk membuat persediaan menghadapi musim sejuk amat terhad. Pakaian musim sejuk juga terlalu mahal dan ramai yang tidak berkemampuan untuk membelinya,” katanya.
Bagi Reda Abu Zarada, 50, yang berpindah dari utara Gaza bersama keluarganya, dia mempunyai cara tersendiri untuk memastikan tubuh anak-anaknya kekal hangat.
“Kami akan tidur berpelukan sehingga pagi,” ujarnya.
Omar Shabet dari Bandar Gaza juga berdepan situasi yang sukar kerana tidak dapat membuat unggun api di luar khemah keluarganya.
“Suhu semakin dingin menjelang tengah malam. Saya bimbang jika nyalakan unggun api, ia akan menjadi sasaran bedilan Zionis. Anak perempuan saya yang berusia tujuh tahun hampir menangis kerana terlalu sejuk,” rintihnya dalam nada sebak. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!