Sentiasa ambil tahu warga emas yang tinggal sendirian

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KISAH warga emas meninggal dunia seorang diri sering menjadi perhatian umum sebagaimana dilaporkan oleh pihak media.

Isu berkenaan bukan sekadar soal kesihatan tetapi juga melibatkan beberapa perkara lain seperti sosial, budaya dan moral masyarakat.

Kes seumpama ini biasanya berlaku dalam kalangan warga emas yang tinggal bersendirian sama ada kerana anak-anak tinggal berjauhan, mereka tidak mempunyai keluarga atau ditinggalkan tanpa pengawasan.

Perkara tersebut mencerminkan jurang dalam hubungan kekeluargaan dan penyediaan sokongan sosial.

Ia juga menjadi petanda bahawa institusi kekeluargaan tradisional yang sebelum ini menjaga warga emas semakin terhakis akibat perubahan gaya hidup moden.

Antara sebab lain ialah kekurangan sokongan masyarakat setempat, kurangnya kesedaran tentang penjagaan warga emas serta kegagalan sistem penjagaan kesihatan dalam mengesan individu yang memerlukan perhatian.

Perkara ini diburukkan lagi disebabkan oleh faktor kesihatan mental apabila ramai warga emas yang tinggal bersendirian mengalami kemurungan atau rasa terasing.

Justeru, ia memerlukan pendekatan holistik seperti kerajaan perlu memperluaskan program sokongan kepada warga emas seperti pusat penjagaan harian atau sukarelawan komuniti yang boleh melawat mereka secara berkala.

Artikel Berkaitan:

Kempen kesedaran tentang kepentingan menjaga hubungan dengan ibu bapa atau saudara lebih tua juga perlu diperhebatkan.

Selain itu, teknologi boleh dimanfaatkan, contohnya penggunaan alat pemantauan kesihatan pintar membolehkan pengesanan awal sekiranya berlaku kecemasan. Begitu juga dengan kesedaran masyarakat setempat yang perlu memainkan peranan aktif.

Ketua-ketua kampung, rukun tetangga atau persatuan setempat boleh menjalankan pelbagai program berkaitan bagi memantau dan membantu warga emas yang tinggal bersendirian.

Mungkin juga kerajaan boleh memperkenalkan insentif kepada keluarga yang menjaga warga emas seperti pelepasan cukai atau bantuan kewangan bagi mengurangkan beban mereka.

Isu ini tanggungjawab bersama dan penyelesaiannya memerlukan kerjasama antara kerajaan, masyarakat dan keluarga.

Melalui tindakan menyeluruh warga emas menikmati hari tua dengan lebih bermaruah dan selamat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!