'Terpinga-pinga lihat ombak besar warna hitam'
KUALA MUDA - Biarpun tragedi tsunami yang melanda negara telah berlalu 20 tahun lalu, namun ombak setinggi kira-kira 30 meter yang membadai Kota Kuala Muda, Kedah pada 26 Disember 2004 masih terbayang dalam ingatan mangsa terjejas terutamanya mereka yang tinggal berhampiran pesisiran pantai.
Che Aman Ahmad, 65, dari Kampung Kepala Jalan berkata, kejadian ngeri yang mengorbankan kakak sulungnya itu tidak mungkin dapat dipadam dalam ingatannya sampai akhir hayat.
Menceritakan kembali kejadian tragis yang berlaku ketika kebanyakan penduduk sibuk untuk memenuhi undangan tiga buah kenduri di sekitar kawasan itu kakaknya, Norma sedang menunggu waktu solat Zohor.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika air laut sedang surut tetapi ombak besar berwarna hitam tiba-tiba muncul menyebabkan orang ramai terpinga-pinga melihat apa yang berlaku.
Kira-kira 20 minit kemudian katanya, muncul satu lagi ombak yang lebih besar dan kuat sehingga meranapkan rumah mangsa.
“Situasi memang cemas, masing-masing cuma nak selamatkan diri saja. Masa ombak tiba hanya ingat nak mati saja, sama ada boleh hidup atau mati tak tahu lagi nasib.
“Pada ketika itu kakak sudah siap bertelekung malah arwah sempat menyuruh anak-anaknya lari untuk menyelamatkan diri,” tambahnya.
Che Aman memberitahu, kejadian tersebut menyebabkan Norma tercampak kira-kira 200 meter ke dalam hutan nipah di belakang rumahnya.
Tambahnya, jasad kakaknya itu hanya ditemui oleh pasukan penyelamat pada waktu maghrib selepas dia puas mencarinya.
“Saya sendiri hanya sempat berpaut pada pokok mempelam setelah gelombang kedua yang menakutkan memusnahkan rumah dan harta benda.
“Masa itu bermacam-macam jenis ikan terdampar di daratan. Saya ingat lagi ikan pari dengan anggaran 10 kilogram seekor memenuhi rumah jiran,” katanya.
Susulan tragedi tersebut jelasnya, mereka sekeluarga sentiasa berwaspada dengan amaran angin kencang dan laut bergelora walaupun kejadian telah berlalu dua dekad lalu.
“Kalau ombak kuat kami berjaga pada waktu malam bimbang kejadian berulang lagi.
“Bila keadaan dah kembali tenang barulah masing-masing masuk tidur,” ujarnya lari.
Lari tinggal kenduri
Sementara itu Hamidah Che Rus, 60, berkata, situasi tersebut menyebabkan dia lari meninggalkan kenduri yang dihadiri kerana takut melihat ombak besar yang membadai kampung.
“Masa hari kejadian cuaca elok tapi waktu makan nasi kenduri nampak ombak putih di laut kemudian bertukar jadi hitam dan tinggi... seram dan ganas.
“Walaupun dah lari laju tetapi tidak mampu melawan kelajuan ombak tu... nampak tiang pagar jiran saya terus peluk kuat-kuat. Anak pula hanya sempat letak atas timbunan sampah namun selamat,” katanya.
Selepas keadaan reda jelasnya, mereka menerima khabar duka bahawa Norma dan seorang jiran warga emas terkorban dihanyutkan arus deras manakala kebanyakan rumah penduduk pula musnah dan rosak teruk.
Trauma yang dirasai semakin berkurangan namun perasaan bimbang dan resah tetap ada setiap kali berlaku hujan lebat atau ombak besar, tambahnya yang kini menetap di Taman Permatang Katong dibina khas untuk mangsa tsunami.
Tsunami yang bermula dari pantai barat Sumatera, Indonesia dengan magnitud 9.3 skala Richter menghasilkan ombak merentas beberapa negara antaranya Sri Lanka, India, Thailand dan Malaysia.
Gegaran gempa bumi yang berlaku selama 20 minit di Lautan Hindi itu disusuli ombak besar yang menyebabkan Banda Acheh di Indonesia terjejas teruk.
Di Kota Kuala Muda pula sebanyak 10 buah rumah dilaporkan musnah manakala 11 individu terkorban selain harta benda dan penempatan penduduk mengalami kerosakan.
Justeru, satu arca berbentuk timbunan bot dan sisa rumah musnah dibina di Kampung Kepala Jalan, Kota Kuala Muda, Kedah selain Galeri Tsunami sebagai tatapan generasi akan datang bagi memperingati tragedi tersebut.
Hamidah kini bertugas sebagai pengawal keselamatan Galeri Tsunami dan telah berkhidmat di situ sejak enam tahun lalu.
Jelasnya, setiap kali ulang tahun tragedi itu, penduduk dengan inisiatif beberapa pihak menganjurkan majlis peringatan dengan mengadakan bacaan Yasin dan doa memohon perlindungan dari ALLAH agar terhindar daripada bencana ngeri itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!