Tindakan tegas perlu diambil, usah biar kenderaan berat ragut lebih ramai nyawa
KEMALANGAN melibatkan kenderaan berat hingga ‘memangsakan’ pengguna jalan raya lain seperti tidak berkesudahan, ada sahaja berita baharu yang terpapar di dada-dada akhbar dan platform digital.
November lalu, orang ramai dikejutkan dengan kisah seorang penunggang motosikal terbunuh selepas lori yang sedang mengisi petrol tiba-tiba berundur dan melanggar mangsa dalam kejadian di ibu kota.
Kelmarin, satu insiden menyayat hati berlaku lagi apabila tujuh termasuk kanak-kanak berusia dua tahun dilaporkan meninggal dunia dalam nahas lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Melaka.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kemalangan kira-kira jam 8.40 malam itu membabitkan sebuah bas ekspres, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori dan bas masing-masing dipandu lelaki berusia 31 serta 56 tahun dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan.
Jelas beliau, dipercayai tayar hadapan kanan lori berkenaan tercabut dan berada di tengah lebuh raya.
Katanya lagi, kemalangan berlaku apabila bas terlanggar tayar tersebut dan pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
Difahamkan, bas terbabit kemudian berlanggar dengan Perodua Bezza, menyebabkan kereta itu terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan.
Bas itu juga kemudiannya bertembung dengan sebuah lagi treler dan Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga.
Antara mangsa yang maut terkorban ialah pemandu MPV, Khairul Ikhwan Mazupi, 32; bersama penumpang iaitu isterinya, Fadzlenna Ramli, 32; anak bongsu mereka, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2, bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66; dan isteri, Fauziah Jaafar, 69, pemandu bas pelancong, Noorisnien Khamid, 56; dan penumpang bas yang juga warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.
Dua lagi anak pasangan kepada Khairul Ikhwan dan Fadzlenna iaitu Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, bersama adiknya, Nur Sofea Humaira, 4, dilaporkan cedera serta sedang menerima rawatan di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Melaka.
Kejadian tidak terduga itu mendapat liputan meluas dan turut membangkitkan rasa sedih dalam kalangan warga maya, bahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) segera menjalankan siasatan terperinci.
Beliau juga meminta JPJ untuk melaksanakan tindakan susulan sewajarnya terhadap syarikat treler dan bas yang terlibat.
Perkara terbabit akhirnya sampai kepada pengetahuan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli yang memaklumkan pihaknya akan melipatgandakan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan khususnya melibatkan kesalahan teknikal.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan lebih tegas dilaksanakan terhadap pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan.
Bukan itu sahaja, ujar Aedy Fadly, pihaknya sedang melaksanakan tindakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) berhubung kemalangan terbabit.
Beliau juga mendedahkan, terdapat bengkel haram yang disyaki menyediakan perkhidmatan menyewa peralatan bagi tujuan pemeriksaan.
Apa pun, diharapkan siasatan dan penguatkuasaan dijalankan dengan lebih telus dan komprehensif tanpa tertinggal satu butiran penting.
Kita tidak mahu lebih ramai nyawa terkorban hanya kerana sikap cuai atau tidak bertanggungjawab orang lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!