Kes selesema burung menular di seluruh England
NORFOLK - Ladang burung di sepanjang pantai timur England terpaksa melaksanakan langkah pencegahan selesema burung berikutan beberapa kes dikesan dalam wabak baharu virus tersebut.
Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar (DEFRA) United Kingdom berkata, kes terkini selesema burung dikesan di Norfolk, timur England dan East Riding of Yorkshire, timur laut England, minggu lalu.
Isnin lalu, DEFRA memutuskan untuk memusnahkan burung dan menguatkuasakan zon perlindungan sejauh tiga kilometer di ladang Norfolk, berikutan laporan mengenai jangkitan selesema burung (HPAI) yang disyaki sangat patogenik.
Zon pencegahan selesema burung serantau turut dikuatkuasakan di seluruh timur England, termasuk Lincolnshire dan Suffolk untuk membendung penularan.
Bermula Isnin, penjaga burung di zon yang terjejas perlu memastikan haiwan itu ditempatkan di dalam rumah untuk melindunginya daripada virus.
Risiko jangkitan selesema dalam kalangan burung liar di Great Britain kini dianggap berada di tahap ‘tertinggi’, manakala bagi ternakan ayam pula dikategorikan di tahap sederhana dan tinggi.
Setakat ini, 11 kes selesema burung strain H5N1 dan satu kes H5N5 dikesan di England dalam wabak semasa.
Kes pertama dalam wabak itu dilaporkan pada November dan tiada kes disahkan setakat ini di Scotland serta Wales.
Menurut peraturan Pertubuhan Dunia untuk Kesihatan Haiwan, Great Britain kini tidak lagi bebas daripada HPAI.
Antara 2021 dan 2023, UK mengalami wabak selesema burung terbesar yang pernah berlaku akibat strain H5N1, menyebabkan kematian 3.8 juta burung dan virus meluas dalam populasi burung liar. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!