Imigresen KLIA tahan kumpulan warga asing elak pemeriksaan
SEPANG – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) masih mengesan perbuatan warga asing mengelak pemeriksaan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menerusi video terbaharu yang dimuat naik oleh akaun TiKTok Jabatan Imigresen KLIA pada Selasa, berdasarkan modus operandi terbaharu, kumpulan warga asing berkenaan akan duduk di dalam premis makanan segera beramai-ramai lebih 24 jam bagi mengelak pemeriksaan di balai ketibaan antarabangsa.
Timbalan Ketua Kawalan Operasi Terminal 1 KLIA, Suresh Nadarajah berkata, sepatutnya sebaik turun dari pesawat mereka terus datang ke kaunter pemeriksaan.
“Apa yang berlaku mereka lepak di dalam premis makanan segera, dan kawasan tempat duduk awam, jadi kita tahan untuk siasatan,” katanya.
Menerusi video pemeriksaan yang dijalankan, ada di antara warga asing berkenaan membeli minuman di premis berkenaan dan duduk selama dua hari di dalam premis berkenaan.
Jelasnya, pihaknya turut melakukan pemeriksaan visa sebelum kesemua mereka diasingkan mengikut butiran penerbangan.
“Pihak Kawalan Operasi Terminal akan mengeluarkan notis penolakan masuk dan warga asing berkenaan akan dihantar pulang ke negara asal,” katanya
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban mendedahkan Pasukan pemantau ditubuhkan Jabatan Imigresen khusus bagi mengesan pengembara mengambil masa lama sebelum ke kaunter pemeriksaan agensi itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berjaya mematahkan beberapa percubaan masuk ke Malaysia menggunakan kaedah 'counter setting'.
Beliau berkata, pasukan berkenaan ditugaskan 24 jam memantau sekitar kawasan ketibaan penumpang dan akan memeriksa secara teliti warga asing, khususnya dari Bangladesh dan Myanmar yang dilihat mencurigakan.
Jelasnya, siasatan mendapati ada warga asing tidak ke kaunter pemeriksaan walaupun sudah lama tiba, sebenarnya menunggu isyarat sindiket 'counter setting' dan jika urusan kemasukan dikesan mencurigakan, mereka akan diusir keluar dari negara ini serta-merta.
Zakaria mendedahkan selepas mendarat, kumpulan warga asing ini biasanya hanya 'bersidai', berlegar-legar atau berehat lama sehingga ada yang mengambil masa tujuh jam sebelum ke kaunter Imigresen dipercayai menunggu isyarat anggota sindiket 'counter setting'.
Sinar Harian pada 18 September lalu melaporkan seramai 50 penguat kuasa kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menerusi modus operandi 'counter setting' atau 'laluan kaunter khas'.
Selain penguat kuasa di dua agensi ditahan dalam Op Pump, SPRM turut menahan 10 ejen sindiket berhubung kes 'counter setting' ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!