Pemegang unit puas hati
SHAH ALAM - Pengumuman kenaikan agihan pendapatan 5.75 sen seunit oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) pada Selasa disambut baik dalam kalangan pelabur dan pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Eksekutif perhubungan awam dan komunikasi, Nur Adlina Aleesha Saiful Rizal, 25, berkata, kenaikan dividen tersebut secara tidak langsung telah membuktikan pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) mampu menguruskan dana ASB dengan baik.
“Terima kasih PNB sebab sentiasa bagi yang terbaik untuk kami. Semoga usaha seperti ini sentiasa diteruskan supaya pelabur akan dapat lebih banyak manfaat daripadanya.
“Dengan kadar kenaikan dividen ini saya tidak takut menyimpan dalam ASB. Ini semua untuk kegunaan masa hadapan saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Dalam pada itu, pembantu akauntan, Nur Alyaa Maryam Mohd Rustam, 23, berkata, pelaburan ASB dimilikinya mendatangkan hasil terutama dalam keadaan harga barang keperluan sekarang yang semakin meningkat.
“Pelaburan ASB ni memberi manfaat besar kepada saya yang berumur 20-an untuk meningkatkan kestabilan kewangan. Dengan pelaburan bijak juga saya dapat memperoleh pendapatan pasif dan berpotensi mendapat pulangan lebih tinggi,” ujarnya.
Menurutnya, kenaikan tersebut bukan sahaja memberikan manfaat kepada pelabur dari segi kewangan tetapi juga meningkatkan keyakinan terhadap pengurusan dan prestasi pelaburan.
Sementara itu, pekerja swasta, Dhia Iwana Zulkafli, 26, berkata, pengumuman pemberian dividen tersebut menjadikan usahanya menyimpan di ASB dari kecil tidak sia-sia.
“Alhamdulillah bersyukur sangat-sangat, jadi sebagai penyimpan rasa dihargai dan tidak sia-sia memilih ASB sebagai salah satu aset simpanan untuk masa hadapan.
“Saya juga bercadang untuk melanjutkan pengajian nanti, jadi kenaikan ini sangat membantu dan menguntungkan serta dapat merancang dengan lebih teliti perancangan kewangan saya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!