Kestabilan politik asas utama tarik pelabur luar

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Peningkatan rating penerimaan terhadap pentadbiran tahun kedua Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didorong oleh kestabilan politik negara turut memberi kesan positif kepada ekonomi Malaysia.

Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, kestabilan politik menjadi antara asas penting dalam menarik pelabur luar.

“Kestabilan politik negara sangat membantu membawa masuk pelaburan ke dalam negara dan pemerintahan Datuk Seri Anwar setakat hari ini dilihat berjaya membawa kestabilan politik yang menarik pelabur untuk mengintai peluang melabur di Malaysia.

“Selain itu polisi-polisi dan insentif yang dilakukan oleh negara dalam memastikan ekonomi Malaysia berada dalam landasan yang kukuh dan kompetitif juga menarik pelabur datang melabur,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Faisol berkata, situasi positif itu dapat dilihat melalui indeks Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang masih berada lingkungan 1,500-1,600 mata.

Beliau menambah, keberanian Anwar melakukan pembaharuan positif dalam pelaksanaan penyelarasan gaji kakitangan awam baru-baru ini juga dilihat menjadi faktor utama kenaikan rating penerimaan terhadap beliau dan kerajaan pimpinannya.

“Tindakan ini perlu dipuji kerana ia dilihat tepat pada waktunya kerana rakyat berhadapan dengan kos sara hidup semakin meningkat yang begitu lama sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, ditanya syor yang perlu dilaksanakan kerajaan dalam aspek ekonomi bagi meningkatkan lagi kepercayaan dan sokongan rakyat, Mohd Faisol berkata, paling utama ialah mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi berganda kepada rakyat untuk bersama-sama dalam kitaran ekonomi mampan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu kawalan harga khususnya ke atas barangan keperluan perlu dilakukan supaya pasaran berada dalam keadaan terkawal dan masyarakat dapat hidup dengan selesa dan tiada tekanan ekonomi.

“Kebanjiran warga asing yang mendominasi sesuatu kawasan ekonomi sehingga menjejaskan ekonomi masyarakat tempatan juga perlu diambil tindakan supaya hak dan peluang ekonomi rakyat tempatan tidak disalah gunakan sewenang-wenangnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!