Kubu Perang Dunia Kedua sudah lama disalah guna
KOTA BHARU - Kubu perang yang dipercayai dibina ketika Perang Dunia Kedua yang ditemukan di tebing Sungai Kelantan sudah lama disalahgunakan individu dan kumpulan tertentu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, melalui maklumat yang diterima ada individu yang menjadikan lokasi itu sebagai tempat meletakkan ayam sebelum disembelih dan menjadi tempat duduk gelandangan.
Menurut beliau, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) sudah memasang pagar di kawasan kubu itu sebelum ini bagi memudahkan orang ramai melawatnya.
"Mungkin kurang penjagaan menyebabkan kubu itu terbiar sekian lama dan menjadi tempat individu tidak bertanggungjawab menyalahgunakannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Malaysia Year End Sale (MYES) -Midnight Sale AEON Mall Kota Bharu pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Tourism Wilayah Timur, Mohd Azizul Arif Yahya.
Beliau memberitahu, pihaknya dengan kerjasama Perbadanan Muzium Negeri Kelantan masih mengenal pasti kesahihan kubu berkenaan sama ada dibina tentera British atau Jepun.
"Kajian masih dilakukan kerana sebelum ini tiada sebarang penceritaan dan pengesahan mengenai kubu itu," katanya.
Dalam pada itu Kamarudin berkata, kerajaan negeri berusaha memulihara mana-mana tinggalan sejarah di negeri ini dengan baik.
Media sebelum ini melaporkan sebuah kubu dipercayai berusia lebih 80 tahun dan dibina ketika Perang Dunia Kedua ditemukan di tebing Sungai Kelantan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Post Office Lama, Isnin lalu.
Ketika penemuan berkenaan, kerajaan negeri tidak mempunyai maklumat mengenai kubu bersejarah itu sehinggalah tebing sungai di lokasi berkenaan runtuh baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!