Hukuman sebat luar penjara manifestasi keadilan Islam - Pemuda Pas
SHAH ALAM - Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak umum seperti diputuskan Mahkamah Syariah Terengganu terhadap pesalah tegar khalwat bukan satu kezaliman, tetapi manifestasi keadilan Islam yang bersifat mendidik.
Pengarah Komunikasi Strategik Pemuda Pas, Nazrul Nazir berkata, tindakan untuk membendung gejala sosial itu juga selaras dengan maqasid syariah yang bertujuan memelihara agama, akhlak, dan keturunan manusia.
Menurutnya, semua pihak perlu memahami bahawa undang-undang Syariah bukan hanya untuk menghukum tetapi juga memelihara keharmonian masyarakat.
"Adalah penting untuk menghormati keputusan Mahkamah Syariah sebagai institusi kehakiman yang berlandaskan hukum Allah dan Perlembagaan Persekutuan.
"Sebarang usaha mempertikaikan keputusan ini tanpa memahami asasnya adalah suatu penghinaan terhadap institusi kehakiman Islam.
"Sebagai umat Islam, kita perlu memahami matlamat sebenar pelaksanaan hukuman ini, iaitu menjaga kemaslahatan umum dan menolak kerosakan yang lebih besar dalam masyarakat," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Pada 20 November lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman enam sebatan terhadap Mohd Affendi Awang kerana ditangkap tiga kali berkhalwat dengan seorang wanita.
Dia juga didenda RM4,000 dan jika gagal, akan menghadapi enam bulan penjara. Hukuman yang pada mulanya dijadualkan pada 6 Disember lalu digantung sementara oleh kerajaan negeri.
Bagaimanapun, pada 15 Disember, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu mengekalkan hukuman tersebut dan akan dilaksanakan selepas solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu dengan disaksikan 70 individu terpilih pada 27 Disember ini.
Susulan itu, beberapa pihak tampil mengecam keputusan tersebut dengan menyifatkannya sebagai kezaliman.
Mengulas lanjut, Nazrul berkata, hukuman yang akan dilaksanakan itu dilakukan dengan penuh rahmah dan profesional berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Pelaksanaan Hukuman Sebatan di Luar Penjara seperti dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.
"Hukuman ini adalah peringatan kepada kita semua: marilah kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan memastikan keluarga serta masyarakat kita terpelihara daripada kerosakan moral," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!