MAHB mesti kekal jadi milik rakyat Malaysia - Hamzah
SHAH ALAM- Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) perlu kekal sebagai sebuah syarikat awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia bagi memastikan ketelusan dan tatakelola yang baik.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menentang keras penjualan saham MAHB.
Menurutnya, sebagai ‘angsa emas’ dan salah satu aset strategik negara yang penting, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mesti kekal menjadi milik rakyat Malaysia.
“Berdasarkan rekod, bilangan penumpang yang dikendalikan oleh MAHB Group sehingga September 2024 telah mencecah 101.2 juta penumpang, dengan pendapatan meningkat 20.3 peratus kepada RM4.26 billion sehingga September 2024 berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2023.
“Keuntungan selepas cukai juga melonjak sebanyak 137peratus kepada RM606.3 juta sehingga September 2024 berbanding September 2023.
“Oleh itu, penawaran yang dibuat amat tidak adil dan tidak mencerminkan potensi serta jaringan besar 39 lapangan terbang di bawah MAHB. Ia juga tidak mengiktiraf momentum pertumbuhan yang dibina MAHB melalui strategi serta hala tuju yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Justeru, beliau melihat keputusan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang bersedia untuk memulakan prosiding bagi meneliti dan memanggil kesemua pihak yang terlibat dalam urus niaga ini adalah langkah yang bertepatan.
Jelasnya, prosiding PAC berupaya untuk memperoleh keterangan dan maklumat terperinci daripada setiap individu terlibat dalam membuat keputusan berkaitan penjualan saham MAHB kepada pihak luar.
“Kandungan Independent Advice Circular (IAC) bertarikh 20 Disember 2024 berkaitan penjualan saham MAHB mendedahkan bahawa semua lima orang Ahli Lembaga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif tidak bersetuju dengan penjualan saham tersebut dan mereka mengesyorkan kepada para pemegang saham menolak tawaran pembelian saham tersebut,” katanya.
Pada 12 Disember lalu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal mendakwa memperoleh dokumen yang mengandungi pandangan pihak berkepentingan yang menentang penjualan saham MAHB dengan alasan tidak bersetuju dengan harga saham.
Beliau berkata, berdasarkan dokumen itu, Malaysia pasti akan mengalami kerugian akibat penjualan itu kerana harga RM7 sesaham adalah terlalu murah dan tidak menggambarkan potensi dan nilai sebenar yang boleh disumbangkan oleh MAHB kepada ekonomi negara.
Bagaimanapun, Gateway Development Alliance (GDA) dan rakan kongsinya secara rasmi menawarkan untuk mengambil MAHB secara persendirian pada harga RM11 sesaham.
Ia berikutan kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan di Turki, Arab Saudi, Mesir dan Malaysia, seperti yang digariskan dalam pengumuman tawaran prasyarat.
Konsortium itu yang diketuai oleh anak syarikat Khazanah Nasional Bhd, UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), turut merangkumi Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP).
Sehingga 15 November, konsortium dan syarikat induknya secara kolektif memiliki 41.1 peratus saham MAHB.
Isu berkenaan penjualan saham MAHB merupakan antara yang akan disiasat PAC dalam prosiding yang dijangka bermula 3 Februari hingga 6 Mac tahun depan.
-end-
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!