600 ekor ayam percuma licin dalam tempoh 20 minit
KUALA TERENGGANU - Sebanyak 600 ekor ayam yang diagihkan secara percuma di Pasar Chabang Tiga di sini pada malam Selasa, licin hanya dalam tempoh 20 minit.
Peniaga ayam, Zulfakrul Amin Abd Manan, 37, berkata, pemberian ayam percuma itu disumbangkan oleh beberapa usahawan bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan terutama mangsa banjir.
Menurutnya, walaupun waktu agihan bermula jam 8.30 malam, orang ramai telah mula beratur di pasar berkenaan seawal jam 7 malam.
"Disebabkan jumlah ayam yang terhad, setiap orang hanya diberikan seekor ayam bagi memastikan semua dapat merasa ayam percuma sekali gus memberi peluang kepada yang lain.
"Sambutan diterima di luar jangkaan kerana 500 ekor ayam habis dalam masa 15 minit dan kita terpaksa menambah 100 ekor lagi untuk tidak menghampakan mereka yang datang," katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.
Jelas Zulfakrul, lebih 2,000 orang memenuhi pasar berkenaan sempena agihan ayam percuma itu.
"Saya sebenarnya tak sangka sambutan diterima begitu luar biasa dan hampir RM10,000 dibelanjakan bagi keseluruhan 600 ekor ayam tersebut.
"Saya berdoa agar dengan bantuan ini, mereka yang membantu dimurahkan rezeki bagi memberi peluang lebih ramai lagi merasai sumber makanan ini," katanya.
Sementara itu, Nasruddin Mohamad, 32, berkata, sumbangan ayam tersebut dapat membantu meringankan bebanan mereka yang memerlukan.
"Rasa bertuah sebab kebetulan berada di sini dan ada agihan ayam percuma ini. Mulanya saya rasa tidak yakin dapat. Mujurlah ada juga rezeki bahagian saya,"katanya.
Seorang lagi penerima, Nor Liayana Mohd Ghani, 44, berkata, dia mula menunggu agihan ayam percuma sejak jam 7 malam.
"Saya harap program seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa hadapan supaya lebih ramai lagi beroleh manfaat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!