Pelajar UUM luang masa ziarah, selami jiwa orang tua, mualaf
KAJANG - Penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) kampus Kuala Lumpur mengadakan program menyantuni orang tua dan mualaf di Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia di sini, baru-baru ini, sebagai usaha memupuk inspirasi dan perpaduan masyarakat.
Program Hari Keluarga itu melibatkan 55 penuntut Ijazah Sarjana Muda separuh masa bagi subjek Pembangunan Masyarakat.
Pengarah Program, Mohamad Norman Rosman berkata, kumpulan siswa dengan slogan 'Inspire and Unity' memberi gambaran jelas tentang misi kami untuk memberi inspirasi serta perpaduan di dalam masyarakat.
Katanya, lawatan ini merupakan wadah penting dalam usaha mengeratkan silaturrahim dan memupuk kecaknaan berkenaan pentingnya menyayangi dan menyantuni orang tua, kelainan upaya dan mualaf.
"Antara pengisian utama program ini adalah untuk beramah mesra selain penyampaian sumbangan pelbagai barangan keperluan dan wang tunai.
"Inisiatif ini selaras dengan inspirasi siswa khususnya untuk bersikap ihsan kepada masyarakat dalam menyantuni golongan ini," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti dijalankan antaranya sambutan hari lahir penghuni serta pertandingan permainan tradisional seperti congkak, batu seremban dan dam haji.
Jelasnya, ia seolah-olah mengimbau semula kenangan dan turut membudayakan permainan tradisonal.
"Bersama kita pamerkan keprihatinan dan sebarang bantuan yang dihulurkan memberi makna besar dalam memberi sinar kepada mereka yang memerlukan," katanya.
Hadir sama, Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Nurul Atikah Mohd Azmi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!