Curi ayam di pasar awam, tiga lelaki ditahan
TAPAH - Tiga lelaki yang disyaki terlibat mencuri ayam di beberapa pasar awam sekitar daerah Batang Padang berjaya ditahan polis dalam serbuan di Rawang, Selangor, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, siasatan mendapati suspek berusia 33 hingga 43 tahun itu telah mencuri 66 bakul mengandungi ayam bernilai lebih RM27,000.
"Modus operandi kumpulan ini melakukan kegiatan itu dengan menaiki lori mereka sendiri atau disewa bagi mengangkut bakul-bakul ayam.
"Dua suspek berperanan sebagai pencuri manakala seorang lagi akan membeli bekas plastik kosong yang digunakan untuk meletakkan ayam," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Menurut Mohd Naim, dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes curi ayam.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati hanya seorang suspek positif dadah jenis methamphetamin.
"Dua suspek direman selama empat hari sehingga Jumaat ini untuk disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," ujarnya.
Tambah beliau, seorang lagi suspek direman dua hari bermula Selasa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam premis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!