Pahang peruntuk insentif hampir RM1 juta hargai kejayaan pelajar, sekolah
RAUB - Kecemerlangan sektor pendidikan di negeri ini mendapat perhatian kerajaan negeri yang memperuntukkan insentif hampir RM1 juta untuk menghargai kejayaan pelajar dan sekolah di Pahang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 705 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh semua A; Purata Nilai Gred Kumulatif (PGNK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan mendapat Mumtaz Suffi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 menerima RM1,000 setiap seorang.
Menurutnya, kerajaan negeri juga berbesar hati memberikan penghargaan kepada 53 buah sekolah yang telah membuktikan kecemerlangan dalam peperiksaan awam serta menyumbang kepada kejayaan untuk Pahang.
"Kerajaan negeri Pahang meraikan pelajar-pelajar cemerlang yang mendapat semua A sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang berusaha sehingga cemerlang.
“Kita juga meraikan ibu bapa yang turut hadir kerana kita tahu kejayaan anak-anak ini bukan semata-mata kerana anak-anak, banyak faktor. Selain anak-anak tadi, ibu bapa, persekitaran sekolah, cikgu-cikgu dan kerajaan negeri turut membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita sempena Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan SPM; STPM dan STAM 2023 Negeri Pahang di Dewan Titiwangsa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Raub pada Selasa.
Ujar Wan Rosdy, pemberian inisiatif pada tahun depan kemungkinan akan diteruskan namun ia bergantung kepada kestabilan ekonomi dan politik di negeri ini.
“Insya-ALLAH kalau kedudukan ekonomi kita baik, kestabilan politik ada, kita mempunyai masa untuk menumpukan kepada pentadbiran. Macam mana saya katakan tadi perlunya kestabilan politik, diiringi dengan kestabilan kewangan, yang mendapat manfaat ialah rakyat negeri Pahang.
“Seperti mana yang sering saya katakan bahawa lebihan daripada hasil yang kita dapat ini akan kita kembalikan kepada rakyat Negeri Pahang. Ini adalah salah satu sahaja banyak lagi yang lain-lain,” jelasnya lagi.
Sementara itu, pasangan kembar, Nurulhuda Khaliluddin dan Nuruljannah Khaliluddin, 18, menghargai pemberian insentif tersebut dan bercadang untuk menyimpannya sebagai persediaan khususnya ketika kecemasan.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peramu Jaya itu meraih 8A pada SPM lalu dan kini menyambung pengajian dalam jurusan kejururawatan di Kolej Universiti Bestari di Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!