70 saksi hukuman sebat dilarang bawa masuk peranti - Polis
KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seramai 70 individu yang dibenar menyaksikan hukuman sebatan pesalah khalwat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini pada Jumaat ini dilarang membawa masuk sebarang peranti ke ruangan hukuman.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, sebarang rakaman sepanjang prosedur tersebut tidak dibenarkan bagi mematuhi arahan dikeluarkan pihak kehakiman.
Menurutnya, orang ramai diminta mematuhi peraturan itu bagi memastikan pelaksanaan hukuman berjalan lancar.
"Hanya 70 individu dibenarkan memasuki ruangan pelaksanaan hukuman tersebut.
"Mereka ini tidak boleh membawa masuk sebarang alatan komunikasi seperti telefon bimbit, perakam video dan seumpamanya," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Mohd Azli berkata, seramai 40 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan untuk mengawal keselamatan sepanjang pelaksanaan hukuman itu.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan kira-kira 40 pegawai dan anggota ketika pelaksanaan hukuman sebatan tersebut.
"Ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang provokasi atau tindakan melampaui batasan sehingga mengganggu proses itu," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan orang ramai yang hadir menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan supaya terus beredar keluar dari masjid sebaik selesai menunaikan ibadah itu.
"Saya menyeru kepada para jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat supaya tidak mencetuskan provokasi kepada petugas-petugas mahupun kepada pesalah.
"Tidak perlu berkumpul yang boleh menyebabkan kesesakan di pekarangan masjid. Hukuman telah diputuskan, beri ruang kepada pihak yang bertanggungjawab melaksanakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!