Miliki bahan lucah kanak-kanak: PDRM, SKMM terus jejak pelaku

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan terus menjejak pelaku terlibat menyimpan bahan pornografi kanak-kanak dan dewasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan menerusi Op Pedo akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.

"Kita bekerjasama dengan SKMM bagi mengesan dan mendapatkan maklumat berkaitan.

"Polis juga menyiasat lanjut bagi mengenal pasti kegiatan ini melibatkan sindiket atau secara individu selain usaha mengesan pelaku lain untuk tindakan lanjut sedang dilakukan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat disaran untuk menyalurkannya bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seramai 13 lelaki ditahan secara berasingan pada Isnin menerusi Op Pedo di enam negeri, kerana disyaki menyimpan video dan gambar pornografi kanak-kanak dan dewasa.

Sebanyak 18 premis di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu diperiksa dalam operasi bersepadu dijalankan oleh PDRM dan SKMM.

Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai peranti dan peralatan komputer milik kesemua suspek.

Artikel Berkaitan:

Op Pedo itu menemukan kira-kira 40,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan pornografi dewasa.

Objektif operasi bersepadu itu bertujuan menjejaki pesalah seksual terhadap kanak-kanak melibatkan aktiviti dalam talian khususnya di platform media sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!