Hilang wang simpanan, kereta gara-gara diperdaya scammer

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Gara-gara terperdaya kononnya akaun peribadi akan disiasat kerana terdapat transaksi mencurigakan, wang simpanan berjumlah RM112,000 serta sebuah kereta milik seorang pesara lesap selepas ditipu individu menyamar sebagai pegawai polis.

Pesara dikenali sebagai Rama, 65, berkata, dia mulanya dihubungi seorang lelaki mendakwa sebagai pegawai polis dari Kuching, Sarawak.

"Gaya percakapannya sungguh meyakinkan, dia mengaku sebagai pegawai polis dan mahu menjalankan siasatan terhadap akaun bank milik saya.

"Individu itu mendakwa ada transaksi yang mencurigakan, saya pun tak tahu macam mana boleh turut semua apa yang dia katakan kepada saya, rasa seolah-olah dipukau pun ada," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Katanya, individu itu awalnya mendakwa mahu menjalankan siasatan terhadap akaun miliknya.

"Dia dakwa yang ada pihak lain telah guna akaun saya, jadi dia tanya jumlah wang yang ada dalam akaun milik saya itu sebelum meminta saya membuat pemindahan wang ke satu lagi akaun untuk tujuan keselamatan.

"Individu terbabit memberi jaminan bahawa keseluruhan wang saya perlu dipindahkan ke dalam akaun berkenaan bagi memastikan ia selamat. Jaminan yang diberikan itu mengakibatkan saya melakukan lima kali pemindahan wang ke akaun itu," katanya.

Menurutnya, beberapa hari kemudian dia dihubungi seorang wanita yang juga mengaku sebagai seorang pegawai polis.

Artikel Berkaitan:

"Individu itu meminta agar saya menjual kereta Perodua Bezza milik saya dan wang itu perlu dimasukkan dalam satu lagi akaun.

"Saya seolah-olah dipukau terus menuruti arahannya dengan menjual kereta itu sebelum wang hasil jualan itu saya pindahkan ke akaun terbabit," katanya.

Rama berkata, dia kesal kerana tindakannya itu mengakibatkan kesemua wang simpanan serta keretanya 'lebur' gara-gara terperangkap dengan penipuan ini.

"Wang itu hasil saya simpan selama saya bekerja, kini semua sudah lesap, saya tak tahu bagaimana nak lalui kehidupan selepas ini.

"Apa yang berlaku ini hanya sekelip mata, mungkin silap saya yang terlalu percayakan apa yang dikatakan individu terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes penipuan itu.

"Siasatan lanjut berkaitan kejadian yang menimpa mangsa sedang dijalankan secara lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!