IPT digalak sumbang idea bina kandungan dakwah di media sosial

Mahasiswi Kolej Kediaman Melati, UiTM Shah Alam dan wakil Masjid Bandar Seri Putra Kajang merakam gambar kenangan pada program berkenaan.
Mahasiswi Kolej Kediaman Melati, UiTM Shah Alam dan wakil Masjid Bandar Seri Putra Kajang merakam gambar kenangan pada program berkenaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Institusi pengajian tinggi (IPT) digalak menyumbangkan idea dalam pembinaan kandungan dakwah di media sosial bagi memastikan mesej Islam sampai dengan cara lebih kreatif dan relevan.

Nazir Masjid Bandar Seri Putra Kajang, Datuk Dr Riza Atiq Abdullah berkata, kemajuan teknologi perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam kalangan masyarakat terutama dalam usaha menyebar dakwah.

Menurut beliau, penggunaan media sosial dalam dakwah perlu dilihat sebagai satu peluang untuk menyampaikan mesej agama dengan cara lebih menarik dan mudah diterima.

"Mahasiswa mempunyai kelebihan dalam hal ini kerana mereka lebih berpengetahuan dan mesra dengan teknologi serta trend semasa.

"Idea segar dan kreatif mahasiswa sangat diperlukan bagi memastikan kandungan dakwah sampai dan diterima sesuai dengan trend masa kini “ katanya menerusi satu kenyataan Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada Rabu.

Seramai 40 penuntut Kolej Kediaman Melati UiTM Shah Alam mengadakan Program Rehlah An-Nisa’ ke Masjid Bandar Seri Putra baru-baru ini.

Mahasiswa Kolej Kediaman Melati UiTM Shah Alam bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar Masjid Bandar Seri Putra, Kajang baru-baru ini.
Mahasiswa Kolej Kediaman Melati UiTM Shah Alam bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar Masjid Bandar Seri Putra, Kajang baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Pada program itu, penuntut UiTM turut bersama-sama bergotong-royong membersih dan menceriakan kawasan masjid serta mendengar perkongsian daripada pencipta kandungan dakwah terkenal, Muhammad Amirul Azizi Roslan.

Program bertemakan 'Dakwah Kreatif Merentasi Institusi' itu bertujuan mempererat hubungan dakwah antara UiTM dan masjid melalui aktiviti khidmat masyarakat serta pembinaan kandungan dakwah di media sosial khususnya platform TikTok.

Pengarah Program Rehlah An-Nisa, Sarah Irdina Suhairul berkata, kerjasama antara penuntut dan institusi masjid itu diharap dapat membantu usaha dakwah terutama dalam menarik minat golongan muda dalam aktiviti keagamaan.

"Inilah masanya remaja perlu berganding bahu bersama institusi masjid bagi memanfaatkan kemahiran dan idea dalam usaha menyebarkan dakwah dalam era teknologi masa kini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!