'Jangan jual telefon, saya beri wang untuk rawat kaki'

Tangkap layar video yang tular di aplikasi TikTok milik Boss Lee_oe.
Tangkap layar video yang tular di aplikasi TikTok milik Boss Lee_oe.
A
A
A

YONG PENG - [DIKEMAS KINI] “Jangan jual telefon awak. Saya akan beri awak wang untuk merawat kaki awak.”

Itu reaksi daripada seorang pemilik premis menjual telefon bimbit di sini, yang hanya dikenali sebagai Boss Lee_oe menerusi rakaman video di aplikasi TikTok, Isnin lalu ketika menghulurkan bantuan kepada seorang lelaki.

Difahamkan lelaki itu datang ke premisnya untuk menjual telefon bimbit miliknya bagi mendapatkan rawatan kakinya yang luka teruk dipercayai akibat diabetes.

Bagaimanapun menurut Boss Lee_oe, setelah mengetahui tujuan lelaki berkenaan, dia terus menghulurkan sedikit sumbangan dalam usaha membantu lelaki berkenaan mendapatkan rawatan yang diperlukan.

Malah, dia turut mempelawa lelaki berkenaan untuk datang ke premis berkenaan atau menghubunginya pada bila-bila masa sekiranya berdepan sebarang kesulitan.

“Hari ini, saya mengalami satu kejadian yang sangat menyentuh hati apabila seorang pelanggan datang ke kedai saya dengan membawa Xiaomi 13 untuk dijual.

“Apabila mendengar kisahnya, air mata saya hampir mengalir dan saya katakan kepadanya, tak perlu jual telefon sambil menghulurkan sedikit sumbangan kepadanya.

“Pada saat itu, dia menangis teresak-esak mendengar apa yang saya katakan. Dia kata tak mahu, tapi saya tetap berkeras memberikan sumbangan berkenaan kepadanya sambil menghulurkan kad perniagaan bagi memudahkannya untuk menghubungi saya kelak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Video berdurasi 2 minit 37 saat itu mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan warga net yang rata-rata memuji tindakan Boss Lee_oe malah ada yang turut menawarkan khidmat untuk mempromosikan premisnya.

Sementara itu, dalam paparan video berkenaan Boss Lee_oe turut memberitahu lelaki berkenaan supaya datang ke premisnya sekiranya berdepan kesulitan.

“Sebenarnya, masih ramai orang di luar sana yang memerlukan bantuan. Saya hanya mampu membantu setakat kemampuan saya.

“Semoga sahabat ini diberi kesembuhan dan kesejahteraan,” katanya di aplikasi TikTok berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!