Langgar burung dipercayai punca pesawat terhempas
ASTANA - Nahas J2-8243 milik Azerbaijan Airlines didakwa berpunca daripada dilanggar burung hingga mengakibatkan juruterbang hilang kawalan.
Daily Mail melaporkan insiden itu menyebabkan juruterbang cuba melakukan pendaratan cemas, namun gagal.
Sementara itu, pihak berkuasa Kazakhstan sedang menyiasat beberapa kemungkinan di sebalik kemalangan itu.
Menurut agensi berita Interfax, penyiasat turut mengkaji kemungkinan kerosakan teknikal yang menjadi punca tragedi tersebut.
"Siasatan masih dijalankan dan butiran lanjut bakal dimaklumkan selepas lebih banyak bukti berkaitan disemak," jelas laporan itu lagi.
Klip berdurasi dua minit dan 31 saat yang merakamkan detik akhir pesawat membawa 67 penumpang itu terhempas turut menjadi tular.
J2-8243 dilihat terbang secara miring setelah juruterbang dipercayai gagal mengawal keseimbangan pesawat itu.
Ia kemudiannya menjunam lalu terbakar seperti bebola api selepas terhempas di Aktau.
Rakaman lain yang dikongsi di media sosial juga memaparkan keadaan serpihan bangkai pesawat tersebut di atas kawasan berumput dan beberapa penumpang terselamat cuba menyelamatkan mangsa yang lain.
Data penjejakan penerbangan FlightRadar24.com menunjukkan pesawat itu berada pada ketinggian tidak konsisten dengan naik dan turun pada minit terakhir sebelum impak itu berlaku. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!