Polis mohon kesan Siti Zaharah, hilang sejak Ahad
TEMERLOH - Polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) berusia 47 di rumah pangsa dekat Jalan Karak-Mentakab di sini yang dilaporkan hilang sejak Ahad.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kehilangan wanita itu, Siti Zaharah Mohd Anuar dilaporkan oleh adiknya yang berusia 41 tahun pada hari sama.
Menurutnya, kehilangan wanita itu yang mengalami masalah ketidakupayaan mental disedari kira-kira jam 7 pagi.
"Pada hari kejadian, kira-kira jam 6 pagi semasa pengadu bangun dari tidur mendapati kakaknya masih berada di dalam bilik.
"Selepas itu pengadu terlelap sebentar dan apabila sedar kira-kira 7 pagi, pengadu mendapati kakaknya telah tiada di rumah
"Pengadu bersama suami serta adiknya yang lain telah keluar mencari di kawasan sekitar; taman-taman berhampiran, bandar Mentakab sehingga ke bandar Temerloh namun tidak ditemui sebelum membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan kakaknya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, kali terakhir wanita itu dilihat memakai baju berwarna biru, berseluar hitam dan tudung warna merah hati.
Tambahnya, ciri-ciri fizikal wanita tersebut juga memiliki ketinggian kira-kira 150 sentimeter dengan berat 60 kilogram serta berkulit hitam manis.
Mazlan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang gadis berkenaan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di 09- 2716222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!