Rakyat perlu jadikan Rukun Negara sebagai landasan
SHAH ALAM - Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara yang diikrarkan rakyat Malaysia perlu dijadikan sebagai landasan agar masyarakat akur dan taat terhadap kebijaksanaan serta keputusan Yang di-Pertuan Agong.
Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, ia berikutan pelepasan dan pembebasan Tun Musa Aman daripada pelbagai tuduhan yang telah dilakukan mendapat kecaman daripada rakyat.
Menurutnya, tidak wajar ada pihak tertentu yang beremosi dengan masih mempertahankan tuduhan yang telah diputuskan di mahkamah.
“Kebelakangan ini masyarakat, khususnya kepada yang taasub kepada parti politik sentiasa mencari helah demi menjulang doktrin kepercayaan dukungan politik masing-masing dan meletakkan perkara lain menjadi tidak penting.
“Ini memberikan ruang yang gelap dan sempit kepada minda mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan tindakan mempertikaikan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah kerana kononnya beliau terlibat dengan rasuah adalah tuduhan yang berat.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, ini kerana tuduhan itu secara tidak langsung mempertikaikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong yang telah melantik beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Selain itu, tambah Nor Halmey, rakyat seharusnya berlapang dada dan mengambil fakta sebenar sebelum melakukan sebarang rumusan sendiri.
“Jauhi emosi dan fikiran daripada racun politik yang sentiasa mencari keuntungan memenangi jiwa rakyat dengan perkara begini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!