'Masa tersepit memang panik, fikir anak bini saja’
SHAH ALAM - Seorang pemandu lori berdepan detik cemas apabila tersepit hampir 10 minit selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan di Labis, Segamat, Johor.
Menerusi hantaran di TikTok milik @iskandar_zul90 atau Iskandar Zul, 34, berkata, kejadian itu menyebabkan bahagian hadapan lori kemek dan kaki kirinya tersepit akibat perlanggaran dengan sebuah treler.
Ujar Iskandar yang bekerja sebagai pembekal aluminium, situasi berkenaan menyukarkannya untuk keluar dari kenderaan tersebut dan terpaksa menunggu bantuan dari luar.
Bagaimanapun menurutnya, insiden itu turut disedari oleh dua lelaki yang kemudian tampil membantunya.
“Kebetulan masa tersepit dan tengah tunggu bantuan untuk keluar, saya buat rakaman video tetapi belum sempat tutup kamera, datang dua lelaki untuk bantu saya.
“Masa tersepit itu, saya memang cemas cuma fikir keadaan anak bini di rumah, mak dan ayah macam mana.
“Ada terfikir juga macam mana hendak keluar, perlu tunggu bomba datang ke atau ada cara lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menerusi video tersebut, turut kedengaran suara salah seorang lelaki yang cuba menenangkan Iskandar sebelum bertindak mengeluarkan kakinya dengan selamat.
Menurut Iskandar, dia bersyukur dan menghargai tindakan semua pihak yang membantu dalam usaha menyelamatnya dalam kemalangan tersebut.
“Perasaan memang bersyukur sangat sebab masih bernyawa,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!