Piala Malaysia: JDT, Terengganu berentap timbal balik pertama pada Januari

Tonggak Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi melakukan rembatan semasa JDT melayan kunjungan Terengganu dalam aksi Liga Super di Iskandar Puteri pada Julai lalu. Foto: Johor Southern Tigers
Tonggak Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi melakukan rembatan semasa JDT melayan kunjungan Terengganu dalam aksi Liga Super di Iskandar Puteri pada Julai lalu. Foto: Johor Southern Tigers
A
A
A

PENYANDANG juara Johor Darul Ta’zim (JDT) akan membuka gelanggang fasa empat terbaik Piala Malaysia berdepan Terengganu FC dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 17 Januari depan.

Perlawanan timbal balik kedua pula menyaksikan Sang Penyu bimbingan Badrul Afzan Razali akan melakukan kunjungan ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri gelanggang keramat Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio dalam perlawanan yang bermula jam 5.30 petang pada 1 Februari.

Sebagai rekod, pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Julai lalu menyaksikan JDT menewaskan Terengganu, 4-0.

Gol Harimau Selatan dijelmakan Heberty Fernandes (m-6) diikuti hatrik Bergson da Silva (m-32, m-64, m-92) ketika pasukan pelawat kehilangan khidmat Ubaidullah Shamsul yang dilayangkan kad merah minit ke-32.

Harimau Selatan memulakan kempen Pusingan 16 langkah kanan apabila menewaskan kelab Liga A1 Semi Pro, Kuala Lumpur Rovers agregat 9-0 dengan menang 3-0 aksi pertama diikuti 6-0 perlawanan kedua yang berlangsung kedua-duanya di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Suku akhir, Harimau Selatan menyingkirkan cabaran juara empat kali Kuala Lumpur City dengan agregat 6–1 menerusi kemenangan 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras diikuti 4-0 timbal balik kedua di Stadium Sultan Ibrahim.

Sang Penyu pula lulus ranjau pertama selepas menjinakkan satu lagi kelab Liga A1 Semi Pro, Melaka FC dengan agregat 4-1 selepas menang 4-1 di Stadium Hang Jebat sebelum diikat tanpa jaringan timbal balik kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Suku akhir, Terengganu juga juara edisi 2001 setelah menewaskan Perak, 2-1, menyingkirkan cabaran juara edisi 2011, Negeri Sembilan FC dengan agregat 6-2 selepas menang 0-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi diikuti 4-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Artikel Berkaitan:

Satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan Sabah FC kendalian Martin Stano akan menanti kunjungan Sri Pahang bimbingan Fandi Ahmad di Stadium Likas pada 18 Januari manakala timbal balik kedua pula jadualkan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada 2 Februari.

The Rhinos memulakan kempen dengan menewaskan kelab Liga A1 Semi Pro, PT Athletic dengan agregat 7-0 selepas menang 4-0 diikuti 3-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Suku akhir pula yang menemukan Derbi Borneo, Sabah menyingkirkan cabaran Kuching City dengan menang agregat 1–0 bekalan aksi pertama di Kuching sebelum terikat tanpa jaringan di Likas.

Juara empat kali Pahang pula menyingkap kempen dengan menyingkirkan juara 33 kali Selangor FC dengan kemenangan agregat 3–2 biarpun diikat 1-1 di Temerloh sebelum mengejutkan pasukan pilihan tersebut dengan kemenangan 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Pentas lapan terbaik pula Tok Gajah menyingkirkan juara lapan kali Perak FC dengan menang agregat

4–3 - menang 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung sebelum diikat Bos Gaurus kendalian Yusri Che Lah, 3-3 di Temerloh dalam timbal balik kedua.

INFO

PIALA MALAYSIA

SEPARUH AKHIR PERTAMA

JUMAAT (17 JANUARI)

Terengganu FC lwn Johor Darul Ta’zim

(Stdm Sultan Mizan Zainal Abidin, 9 malam)

SABTU (18 JANUARI)

Sabah FC lwn Sri Pahang FC

(Stdm Likas, 8.15 malam)

PIALA MALAYSIA

SEPARUH AKHIR KEDUA

SABTU (1 FEBRUARI)

Johor Darul Ta’zim lwn Terengganu FC

(Stdm Sultan Ibrahim, 5.30 petang)

AHAD (2 FEBRUARI)

Sri Pahang lwn Sabah FC

(Stdm Majlis Perbandaran Temerloh, 8.30 malam)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!