[VIDEO] Jo-Anna belum sertai mana-mana parti, hanya tumpu pengajian
PENAMPANG - Bekas Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan (Warisan), Jo-Anna Sue Henley Rampas mengaku masih belum menyertai mana-mana parti ketika ini.
Bekas pemilik mahkota Unduk Ngadau (ratu cantik) 2007 itu berkata, beliau mahu kekal neutral sehingga pengajiannya tamat di Universiti Sarawak Malaysia (Unimas).
"Seperti yang kamu nampak juga belum ada mana-mana lagi penyerahan borang kepada mana-mana parti, cuma sekarang saya memang dalam kedudukan neutral, saya tiada parti.
"Saya tinggalkan Warisan pada 2023 iaitu melepaskan jawatan dan keluar cerita pada Ogos 2024. Saya rasa itu sudah cukup memaklumkan saya sudah tidak bersama Warisan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Krismas anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini pada Rabu.
Diminta mengulas kelibatnya yang sering dilihat pada acara rasmi anjuran Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Jo-Anna menjelaskan bahawa itu adalah tuntutannya dalam bidang akademik.
"Bagi saya, kerana saya berada dalam bidang akademik sekarang, jika ada pihak yang mahu menjemput saya untuk bercakap mengenai politik dari sudut akademik, saya akan hadir.
"Tetapi untuk program-program politik, saya tidak pernah terlibat dalam mana-mana program parti politik," katanya.
Jo-Anna berpandangan, orang lain boleh mengatakan apa saja terhadapnya termasuk 'katak' selepas keluar dari Warisan dan mesra dengan parti politik lain.
"Jika kita lihat politik di Sabah, kita dapat perhatikan bahawa ramai pemimpin kita bukan hanya daripada satu parti sahaja.
"Mereka mungkin kekal dalam satu parti, tetapi turut bekerjasama dengan parti-parti lain. Jadi, mereka boleh menyuarakan apa sahaja pandangan yang mereka mahu," katanyan.
Sementara itu, mengulas lanjut jika beliau berminat untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Jo-Anna sekali lagi kekal dengan pendiriannya untuk fokus kepada pengajiannya dahulu.
Jo-Anna pada Ogos lalu menjawab spekulasi mengenainya bahawa beliau telah berundur daripada arena politik kerana ingin memberi tumpuan kepada pengajiannya di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).
Malah Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga mengesahkan bahawa bekas calon Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu itu bukan lagi ahli partinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!