Pemandu lori syarikat kurier ditahan, tiada lesen memandu

Antara kenderaan termasuk motosikal disita atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas di Plaza Tol Puchong Barat pada Selasa.
Antara kenderaan termasuk motosikal disita atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas di Plaza Tol Puchong Barat pada Selasa.
A
A
A

PUCHONG - Tiada lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh antara kesalahan dikesan dilakukan seorang pemandu lori syarikat kurier ketika ditahan dalam operasi khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Puchong Barat di sini pada Selasa.

Lelaki tempatan berumur 30-an itu memberi alasan tidak cukup wang untuk membuat lesen selain mendakwa terpaksa menggunakan lori yang cukai jalan telah tamat tempoh untuk menghantar barangan kepada pelanggan.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi dijalankan melibatkan kekuatan 55 pegawai dan anggota bermula jam 8 malam sehingga 12 tengah malam.

Anggota JPJ menjalankan pemeriksaan terhadap penunggang ketika operasi khas di Plaza Tol Puchong Barat pada Selasa.
Anggota JPJ menjalankan pemeriksaan terhadap penunggang ketika operasi khas di Plaza Tol Puchong Barat pada Selasa.

"Operasi melibatkan pemeriksaan ke atas 1,022 buah kenderaan dan 231 daripadanya didapati melakukan pelbagai kesalahan dan telah diambil tindakan.

"Pemeriksaan melibatkan antaranya lori, van, kereta, kenderaan pacuan empat roda, motosikal dan pelbagai kenderaan lain," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Katanya, antara kesalahan ketara dikesan adalah melibatkan lesen memandu.

"Kesedaran berkaitan lesen memandu ini dilihat masih kurang, dan masih ramai pemandu serta penunggang didapati tiada lesen memandu yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Rata-ratanya memberikan alasan bahawa tidak sempat untuk membuat lesen, selain mendakwa tiada wang mencukupi untuk mengambil ujian untuk memiliki lesen yang sah," katanya.

Menurutnya, sebanyak 421 notis saman telah dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan.

"Sebanyak 17 kenderaan melibatkan 15 motosikal dan dua lori disita untuk tindakan lanjut.

"Sitaan dijalankan melibatkan kesalahan tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh selain tiada insurans yang sah," katanya.

Azrin berkata, operasi itu merupakan salah satu inisiatif JPJ Selangor untuk memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.

"Ia diadakan bagi memastikan pematuhan undang-undang berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipatuhi oleh pengguna.

"Selain itu, ia bagi memastikan piawaian teknikal dan keselamatan kenderaan yang digunakan dalam keadaan selamat dan tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!