Dua pelajar UTeM maut, kereta terbabas rempuh besi penghadang lebuh raya

Dua wanita maut manakala dua lagi cedera selepas kereta yang dinaiki dipercayai terbabas sebelum merempuh besi penghadang di Kilometer (KM) 187.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah Utara dekat sini, pada Khamis. Foto JBPM Melaka

A
A
A

JASIN - Dua pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut manakala dua rakannya cedera selepas kereta dinaiki dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang di Kilometer (KM) 187.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah Utara di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kejadian pada jam 6.30 pagi itu membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dinaiki empat wanita yang juga pelajar UTeM berusia 19 hingga 21 tahun.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan disyaki berlaku apabila kereta dari arah Johor menghala ke Melaka itu terbabas sendiri dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri.

"Akibatnya, penumpang hadapan dan penumpang belakang sebelah kiri maut di lokasi kemalangan susulan parah di kepala," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Komander operasi lapor dua mangsa tersepit berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Foto JBPM Melaka
Komander operasi lapor dua mangsa tersepit berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Foto JBPM Melaka

Ujarnya, mereka yang maut merupakan Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan, masing-masing berusia 19 tahun.

"Sementara itu, dua lagi rakannya iaitu pemandu berusia 20 tahun dan penumpang belakang sebelah kanan berusia 21 tahun selamat, masing-masing mengalami kecederaan di kaki selain luka-luka ringan.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dalam kenyataannya memaklumkan lapan anggota termasuk dua dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi.

Lapan anggota termasuk dua dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi dan tiba 18 minit kemudian. Foto JBPM Melaka
Lapan anggota termasuk dua dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi dan tiba 18 minit kemudian. Foto JBPM Melaka

"Setibanya di lokasi didapati sebuah kereta Perodua Myvi terbabas dan terdapat dua mangsa wanita berusia 20-an berjaya keluar. Terdapat dua mangsa wanita tersepit dalam kenderaan yang remuk dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan.

"Komander operasi lapor dua mangsa tersepit berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!