'Bendera China pada replika roket gergasi di Tangkak cetus kebimbangan'
TANGKAK - Bendera negara China pada replika roket di sebuah karnival di sini, disifatkan tidak sensitif dan dibimbangi boleh mencetuskan provokasi dalam masyarakat berbilang kaum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Sahrihan Jani berkata, laporan polis berhubung insiden itu sudah dibuat Pemuda UMNO Bahagian Ledang pada Rabu.
"Sejak awal isu ini diviralkan saya telah berhubung dengan pihak Majlis Daerah Tangkak (MDT) menyuarakan rasa kebimbangan bahawa perkara ini akan mencetuskan kegelisahan masyarakat.
"Saya menekankan satu tindakan proaktif termasuk membatalkan permit dan penganjuran program tersebut sekiranya benar pihak penganjur tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak MDT dan pihak keselamatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum itu, tular foto tersebut yang memaparkan replika roket gergasi dengan bendera China diletakkan pada bahagian sayapnya.
Sahrihan berkata, tindakan tegas perlu diambil termasuk pendakwaan kes di mahkamah terhadap penganjur dan penutupan operasi karnival dengan serta-merta.
"Saya difahamkan secara tidak rasmi bahawa karnival terbabit akan dihentikan operasinya bermula pada Khamis.
"Namun, permohonan maaf tidak cukup untuk menutup kesalahan ini," katanya.
Jelasnya, beliau dan UMNO tidak akan bersekongkol dengan tindakan mana-mana pihak yang menggugat maruah dan keselamatan negara.
"Saya menegaskan bahawa masyarakat di Gambir sangat menjunjung tinggi kehidupan harmoni dan bersatu padu serta saling menghormati adat kebudayaan dan kepercayaan masing-masing.
"Masyarakat di Gambir juga jelas menolak sebarang usaha tersirat yang bertujuan mempromosikan sesuatu yang bertentangan dengan semangat perpaduan dan sayangkan Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib mengesahkan menerima laporan tersebut dan memaklumkan kes itu masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!