JKNCR UA nafi dakwaan kemasukan pelajar ke universiti awam guna 'pintu belakang'
SHAH ALAM - Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) menyangkal penuh dakwaan berkaitan kemasukan pelajar ke universiti awam menggunakan ‘pintu belakang’.
Ia susulan dakwaan yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Prof Dr Haim Hilman Abdullah bahawa wujud kemasukan pelajar ke universiti awam melalui ‘pintu belakang’ sekali gus menafikan hak anak-anak golongan miskin.
Pengerusinya, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, dakwaan itu jelas mencerminkan sifat tidak bertanggungjawab individu yang hanya mahu mengelirukan masyarakat selain menimbulkan kontroversi tidak berasas.
Beliau menegaskan, JKNCR UA yang terdiri daripada 20 orang Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam Malaysia menyangkal dakwaan berunsur fitnah oleh Haim Hilman yang tular berkaitan kemasukan pelajar ke universiti awam menggunakan ‘pintu belakang’, sekali gus menafikan hak anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian.
“Kenyataan yang dibuat ini menampakkan kejahilan beliau terhadap proses kemasukan pelajar ke universiti awam di Malaysia.
“Ini kerana pengambilan pelajar dibuat secara telus, melalui sistem tapisan dan saringan ketat serta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.
"Kaedah ‘pintu belakang’ sama sekali tidak pernah wujud dalam proses kemasukan pelajar ke mana-mana universiti awam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, menurut Mohd Ekhwan, jumlah kemasukan mahasiswa melalui saluran arus perdana juga tidak pernah dikurangkan.
Tambahnya, pengambilan pelajar kuota arus perdana dipenuhkan dahulu sebelum proses pengambilan dibuka semula kepada calon yang membuat rayuan.
“Jelas sekali beliau berpura-pura tentang prosedur kemasukan pelajar universiti awam yang mempunyai dua saluran berbeza.
“Saluran perdana dibuka dengan subsidi kerajaan manakala saluran komersial dibuka tanpa subsidi kerajaan.
"Saluran perdana mengambil sebahagian besar pelajar B40 manakala saluran komersial mengambil pelajar dalam kalangan keluarga T20 dan antarabangsa,” ulasnya.
Dalam pada itu, Mohd Ekhwan berkata, kutipan yuran yang dibuat melalui saluran komersial turut digunakan oleh pihak universiti untuk membangunkan fasiliti pengajaran dan pembelajaran serta kemudahan penginapan.
Ujarnya, semua kemudahan yang disediakan akan digunakan secara sama rata oleh pelajar.
“Tidak mungkin bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak faham akan tujuan saluran komersial dan bagaimana ia dilaksanakan sedangkan saluran terbuka atau komersial telah wujud di UUM semasa beliau menjawat jawatan tersebut.
“Dakwaan berkaitan dengan pengambilan pelajar antarabangsa juga merupakan fitnah yang besar. Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi telah diiktiraf oleh banyak negara dan menjadi pilihan pelajar luar.
“Kita sama sekali tidak berkompromi dengan kriteria kemasukan, malah berikan peluang meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi melalui program dalaman universiti sebab kami percaya semua pemimpin masyarakat memahami peranan serta tanggungjawab masing-masing,” jelas beliau.
Sementara itu, menurut Mohd Ekhwan, hak kebebasan bersuara perlu bersifat matang dan mempunyai fakta bagi mengelak sebarang kekeliruan.
Namun, terdapat sesetengah pihak yang menyalahgunakan hak tersebut demi kepentingan peribadi sehingga menimbulkan kekecohan dan merosakkan kesejahteraan rakyat serta negara.
“Kita juga menghormati hak kebebasan bersuara selagi ia bersifat matang dan berasaskan maklumat yang benar.
“Hak kebebasan bersuara ini tidak boleh disalah guna untuk memutarbelitkan fakta, sengaja mengelirukan masyarakat untuk kepentingan peribadi dan politik semata-mata atau menimbulkan kekecohan yang merosakkan kesejahteraan rakyat serta negara,” katanya,
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!