Pemandu larikan diri tinggal 380,800 batang rokok seludup dalam MPV
TEMERLOH - Tindakan sindiket menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah jenis Toyota Vellfire untuk menyeludup ratusan ribu batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama dari Tebrau, Johor berjaya dipatahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang pada 10 Disember lalu.
Pengarahnya, Mohd Asri Seman berkata, sebanyak 380,800 batang rokok disyaki barang larangan dianggarkan bernilai RM55,856 dengan duti kira-kira RM256,913.60 berjaya ditemui hasil pemeriksaan pada MPV terbabit.
Menurutnya, dalam operasi yang dilakukan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Temerloh itu, pemandu terbabit berjaya melarikan diri.
"Nilai keseluruhan rampasan membabitkan sebuah MPV dan keseluruhan rokok termasuk duti dianggarkan berjumlah RM462,769.60
"Hasil semakan, dua nombor pendaftaran yang digunakan pada MPV terbabit juga palsu untuk mengaburi pihak berkuasa dan kes masih dalam siasatan," katanya semasa sidang akhbar di JKDM Temerloh di sini pada Khamis.
Ujarnya, rampasan itu antara hasil tiga serbuan berasingan membabitkan aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras dengan anggaran nilai RM165,889.60 melibatkan duti berjumlah RM1,449.660.16 sepanjang Disember setakat ini.
"Pada 3 Disember lalu kira-kira jam 11.15 malam, Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Temerloh membuat serbuan di sebuah premis kediaman yang dijadikan stor simpanan di Ulu Tiram, Johor.
"Hasil pemeriksaan, pasukan telah menemui rokok pelbagai jenama berjumlah 449,400 batang dianggarkan bernilai RM49,340 dengan duti bernilai RM301,538," jelasnya.
Tambah beliau, kes masih dalam siasatan dan kes tersebut dan di Tebrau disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, dalam serbuan di Pelabuhan Utara Klang, Selangor pada 12 Disember lalu kira-kira jam 11.30 pagi, tindakan sebuah kontena yang diikrar sebagai kertas hiasan dinding berjaya dikesan oleh cawangan sama dengan kerjasama Unit Kawalan Kontena (CCU) Selangor menerusi Ops Pagar 2024.
"Kita telah berjaya menyita sebuah kontena saiz 40 kaki dengan muatan minuman keras.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati ia berisi 26,400 liter atau 52,800 tin minuman keras jenis bir yang dipercayai tidak mempunyai permit import dan dianggarkan bernilai RM60,693.60 dengan duti sebanyak RM891,208.56," katanya.
Ujar Asri, modus operandi kes itu pengimport membuat pengikraran tidak benar terhadap dagangan dalam borang pengikraran untuk pengimportan dagangan iaitu borang Kastam 1.
Jelasnya, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!